KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- JcbNext Bhd melupuskan keseluruhan 9.45 peratus pegangan ekuitinya dalam Nova Pharma Solutions Bhd pada harga RM5.21 juta selepas menerima tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat daripada Southern Score Builders Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pegangan pelaburan itu berkata pelupusan berkenaan melibatkan 14.08 juta saham biasa Nova Pharma pada pertimbangan tunai 37 sen sesaham.
“Mengikut Perenggan 9.19(26) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, lembaga pengarah ingin mengumumkan bahawa JcbNext pada 19 Jan, 2026 telah berhenti menjadi pemegang saham utama Nova Pharma susulan pelupusan berkenaan,” katanya.
Nova Pharma merupakan syarikat awam yang diperbadankan di Malaysia dan disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Securities, yang terlibat dengan perniagaan penyediaan dokumentasi teknikal, pengesahan dan pelaksanaan projek dalam industri farmaseutikal dan biologi.
-- BERNAMA