PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menjalankan kajian bagi menilai impak kecerdasan buatan (AI) terhadap perjawatan perkhidmatan awam, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata kajian itu penting bagi memastikan struktur perjawatan sektor awam kekal relevan serta menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
“Perkara ini penting kerana ketika ini kecerdasan buatan sudah boleh mengambil alih kerja-kerja rutin dan bersifat analisis,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga JPA yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi jabatan itu hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata ketua jabatan perlu menyemak semula deskripsi tugas pegawai di bawah seliaan masing-masing berdasarkan hasil kajian itu kelak bagi memastikan perjawatan kekal relevan dan berdaya saing.
"Langkah ini amat kritikal bagi memastikan pelaburan besar yang telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi program melatih semula ataupun re-skilling pegawai awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuahkan hasil yang setimpal," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata ketua jabatan juga perlu memiliki keupayaan metakognitif yang tinggi bagi membimbing warga kerja memahami proses pemikiran, pembelajaran dan penyesuaian tingkah laku dalam persekitaran kerja yang semakin kompleks dan tidak menentu.
"Pada era AI ini, kebijaksanaan seseorang pemimpin terserlah apabila mampu mengenal pasti secara strategik tugasan yang memerlukan sentuhan kemanusiaan dan mana yang lebih efisien dioptimumkan melalui mesin,” katanya.
Dalam amanatnya, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan Pelan Strategik JPA 2026–2030 yang merangkumi lima teras strategik bagi memacu reformasi perkhidmatan awam.
Beliau berkata pelan strategik itu digubal selari dengan misi pembaharuan perkhidmatan awam yang digagaskan kerajaan, khususnya dalam mempercepat pelaksanaan dasar, mempermudah urusan rakyat serta memperkukuh keupayaan jentera pentadbiran negara.
Pelan Strategik JPA 2026–2030 menggariskan lima teras strategik yang bakal diterjemahkan melalui 11 strategi, 40 program dan 91 sasaran bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai panduan utama gerak kerja JPA.
Wan Ahmad Dahlan berkata JPA juga akan melancarkan Pelan Strategi Pendigitalan JPA 2026–2030 pada separuh pertama tahun ini yang merangkumi empat teras strategik, 18 strategi dan 129 program.
Beliau berkata pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pemerkasaan penyampaian digital perkhidmatan awam, pengukuhan keupayaan infrastruktur digital yang mampan, pemerkasaan serta penyegaran bakat digital dan pemantapan tadbir urus digital yang inklusif.
Wan Ahmad Dahlan menyeru seluruh warga penjawat awam supaya bersedia mendepani perubahan landskap kerja yang semakin mencabar, khususnya akibat kemajuan teknologi dan jangkaan rakyat yang semakin tinggi terhadap kualiti perkhidmatan kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa perkhidmatan awam perlu kekal relevan, responsif dan berdaya tahan dalam persekitaran yang pantas berubah.
"Berdasarkan inisiatif yang disebutkan tadi, kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi oleh pegawai awam. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana apabila gaji dinaikkan maka harapan rakyat sudah pasti lebih tinggi kepada kita.
"Tema yang dipilih pada tahun ini ialah 'Menerajui Tekad Reformasi'. Ini bermaksud Tema ini bermaksu pegawai awam bersedia di barisan hadapan untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan nilai-nilai MADANI," katanya.
-- BERNAMA