KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan hari ini berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy, berkata kerjasama yang diberikan oleh seluruh pegawai dan anggota IPD berkenaan amat baik, sekali gus membolehkan proses pengundian awal dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.
“Sebelum pengundian awal, kami telah memberikan taklimat terlebih dahulu kepada pegawai dan anggota agar melaksanakan tugas mereka untuk mengundi hari ini.
“Saya melihat semuanya berjalan dengan baik dan tiada sebarang masalah…semua faham tanggungjawab mereka dan memberikan kerjasama yang baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di sini hari ini.
Mengulas mengenai aspek keselamatan peti undi selepas tamat proses pengundian awal, beliau memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan berada pada tahap tertinggi.
Pusat pengundian awal dibuka pada 8 pagi tadi dan akan ditutup pada 5 petang ini.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Parlimen Kinabatangan merangkumi tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut dengan keseluruhan 48,722 pengundi berdaftar, manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.
-- BERNAMA