SUKAN

Jaringan Saat Akhir Musnahkan Hasrat Kelantan TRW Kongsi Mata

20/01/2026 02:44 PM

KOTA BHARU, 20 Jan (Bernama) -- Penolong Ketua Jurulatih Kelantan The Real Warriors FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mengakui kekalahan tipis 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi Piala Malaysia malam tadi berpunca daripada kecuaian pemain memberi ruang kepada penyerang berpengalaman lawan.

Beliau berkata seperti yang dijangkakan sebelum perlawanan, Muhammad Faisal Abdul Halim berupaya menghukum sebarang kesilapan kecil khususnya di bahagian pertahanan, berdasarkan kualiti dan pengalamannya sebagai pemain kebangsaan.

“Kami tahu kualiti Faisal Halim. Jika diberi sedikit ruang, dia mampu menjaringkan gol dan perkara itu terbukti apabila dua peluang dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Pada perlawanan itu, Faisal Halim meledak dua gol masing-masing pada minit ke-60 dan masa tambahan separuh masa kedua, manakala gol tunggal Kelantan TRW dijaringkan oleh Alexander Lyngbo pada minit ke-25.

Akmal Rizal berkata jaringan pada minit akhir perlawanan itu amat mengecewakan kerana pasukannya hampir membawa pulang satu mata berharga menjelang aksi timbal balik di tempat lawan, Jumaat ini.

“Secara keseluruhan pemain melaksanakan perancangan dengan baik, namun sedikit kesilapan pada penghujung perlawanan ketika diasak Selangor FC membawa padah. Perkara ini tidak boleh diulangi kerana kami masih mempunyai peluang ke suku akhir,” katanya.

Beliau turut memuji komitmen dan semangat juang anak buahnya sepanjang perlawanan, sambil mengakui kekalahan itu lebih disebabkan kualiti serta pengalaman pasukan lawan yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514504