JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kenal Pasti Dua Individu Disyakit Terlibat Kes Pemalsuan Dokumen Pemain Warisan

21/01/2026 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dua individu dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dikemukakan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata usaha mengesan kedua-dua individu terbabit kini sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata setakat ini pihak polis telah menerima 45 laporan berhubung isu berkenaan, termasuk satu laporan yang dibuat FAM.

“Sebanyak 43 saksi terdiri daripada pihak FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta saksi awam telah dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati proses pemerolehan taraf kewarganegaraan melalui langkah menaturalisasikan tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu dilaksanakan mengikut prosedur dan mematuhi undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan kini menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan dokumen semasa proses pendaftaran pemain berkenaan untuk dikemukakan kepada badan induk bola sepak dunia, FIFA.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa PDRM komited memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515240