AM

Pasangan Suami Isteri Tarik Perhatian Penggemar Sate Dengan Dua Kuah Unik

22/01/2026 01:32 PM

SEREMBAN, 22 Jan (Bernama) -- Lazimnya, sate dinikmati bersama dengan kuah kacang, namun pemilik Warong Daun Emas di Kemayan Square, di sini memilih pendekatan berbeza apabila memperkenalkan dua lagi pilihan pencecah, iaitu sos sukiya dan sos hitam cili padi.

Kelainan yang dibuat pasangan suami isteri Reza Jamaludin, 40, dan Mia Nurhamizah Abdul Ghafar, 35, itu bukan sahaja menawarkan rasa berbeza kepada penggemar sajian tempatan, tetapi juga memberikan variasi pilihan pencecah kepada pelanggan merangkumi semua generasi.

Reza berkata idea itu tercetus hasil pemerhatian kepada trend makanan semasa dan permintaan pelanggan yang inginkan kelainan daripada sate biasa di warungnya.

"Isteri beri idea untuk buat kuah lain daripada biasa, maka terhasillah kuah hitam cili api (khusus untuk penggemar makanan pedas) dan sos sukiya buat mereka yang sukakan rasa ala hidangan Jepun.

"Kami menjanjikan hidangan sate di sini tidak akan sama seperti di tempat lain, terutamanya dari segi kuah. Walaupun perniagaan ini masih baharu, permintaan diterima amat memberangsangkan," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Mia Nurhamizah berkata rempah ratus dan perapan sate serta kuah ialah hasil daripada resipi warisan turun-temurun daripada keluarganya sendiri.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata setiap hari dia akan menyediakan lebih kurang 2,000 cucuk sate termasuk untuk pelanggan yang membuat tempahan awal.

"Di sini, kami menyediakan sate mengikut pilihan pelanggan. Selain sate biasa (nasi himpit dan kuah kacang), kami turut menyediakan pakej hidangan bagi mereka yang inginkan tiga kuah pencecah. Harga sate serendah RM1.30 secucuk hingga RM24 bagi pakej lengkap dengan tiga pilihan pencecah.

"Setiap pesanan disediakan khas mengikut kehendak pelanggan, sate hanya dibakar sebaik sahaja tempahan dibuat, bukan dibakar awal bagi memastikan setiap cucuk kekal lembut, berjus dan penuh dengan rasa," katanya.

Mia Nurhamizah mereka kini sedang merancang untuk membuka cawangan kedua Warong Daun Emas di kawasan bandar Seremban dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515421