NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 22 Jan (Bernama) -- Atlet berbasikal negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, meraih pingat perak dalam acara berbasikal lebuh raya C1-C2 lelaki pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Universiti Teknologi Suranaree, hari ini.
Atlet berusia 28 tahun itu menambah koleksi pingat dalam temasya tersebut selepas menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 47.57 saat (s), hanya 0.10s di belakang pelumba Indonesia, Alana Tifan Abid yang meraih emas.
Sementara pingat gangsa diraih pelumba tuan rumah, Rimtamad Teerayut (1:59.02s).
Semalam, Mohamad Yusof membuka kempen di temasya dwitahunan itu dengan merangkul emas pertama Malaysia menerusi acara ujian masa berbasikal lebuh raya individu C1–C2 lelaki.
Dalam pada itu, bagi saingan kategori C3-C5, Zuhairie Ahmad Tarmizi memastikan kem negara meraih kedudukan podium dengan meraih pingat gangsa menerusi catatan masa 2:14.29s.
Pelumba Indonesia Sufyan Saori meraih emas (2:14:29s), sementara pelumba Filipina Lee Patrick Gerard meraih perak (2:14.29s).
-- BERNAMA