Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA, 22 Jan (Bernama) -- Jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli memilih pendekatan santai ketika bertanding dalam acara rejam lembing F20 yang disifatkannya sebagai aksi pemanas badan menjelang acara sebenar beliau, iaitu lontar peluru pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, esok.
Walaupun rejam lembing bukan acara kegemarannya, pemenang emas Sukan Paralimpik 2016 itu tetap turun ke padang dengan niat untuk menyumbang tambahan pingat buat kontinjen negara, sebelum menyedari ia bukan acara pingat.
"Saya berusaha sedaya upaya kerana ingin menyumbang pingat kepada negara. Hanya selepas pertandingan bermula, saya menyedari ia bukan acara pingat. Jadi, saya menganggapnya sebagai aksi pemanas badan dan menikmati saat itu kerana tiada tekanan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam acara rejam lembing itu, Muhammad Ziyad, 35, menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 40.85 meter (m) di belakang rakan sepasukan Eljoe Gotuoh menerusi rejaman sejauh 43.14m manakala seorang lagi wakil negara, Mohamad Aliff Mohamad Awi mencatat 21.60m.
Walaupun tiada pingat yang dianugerahkan, beliau berkata acara rejam lembing membolehkannya membiasakan diri dengan persekitaran pertandingan, sekali gus menyediakan persediaan mental dan fizikal yang diperlukan menjelang acara lontar peluru esok.
“Tak ada tekanan, tak ada sakit, semuanya baik. Saya boleh tengok keadaan padang, arah angin dan lebih bersedia untuk esok.
"Lagipun saya tidak boleh menarik diri daripada acara merejam lembing, jika tidak, saya akan hilang kelayakan untuk acara seterusnya," kata Ziyad sambil memaklumkan sasarannya dalam acara lontar peluru adalah untuk mendapatkan emas.
-- BERNAMA