Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Bagi kebanyakan wanita, aksesori bukan sekadar pelengkap gaya, sebaliknya elemen penting yang mampu menyerlahkan keperibadian serta keyakinan diri.
Memahami peranan itu, pereka aksesori muda, Amira Wani Jamil tampil dengan pendekatan berbeza apabila merealisasikan aksesori bukan hanya sebagai hiasan luaran, tetapi sebagai medium penceritaan yang sarat dengan nilai emosi menerusi setiap rekaan yang dihasilkannya.
Mengusahakan jenama kecilnya, Ipil Kupil, sejak November tahun lalu, anak kelahiran Klang berusia 26 tahun itu mengangkat kisah hidup manusia -daripada kehilangan dan perjuangan, kepada kebangkitan semula- melalui rekaan aksesori berasaskan besi kitar tinggi, sekali gus memberi dimensi baharu kepada dunia aksesori wanita.
Bagi wanita yang mesra disapa Amira ini, bahan yang mungkin dianggap tidak lagi bernilai dan sepatutnya berakhir di tapak pelupusan sebenarnya mempunyai harganya tersendiri untuk disuntik dengan ‘nyawa kedua’, selari dengan trend fesyen lestari yang semakin mendapat perhatian.
pic-2
“Saya memang minat fesyen dan aksesori wanita. Sejak kecil lagi, saya suka mengitar tinggi bahan untuk dijadikan rantai, menggunakan benang dan surat khabar sehingga dikenali sebagai ‘Amira Kitar Tinggi’.
“Apabila meningkat dewasa, saya cuba menghidupkan kembali minat itu, tetapi tidak mahu sekadar menghasilkan sesuatu yang cantik semata-mata,” katanya kepada Bernama.
Sebagai pendengar setia kepada rakan-rakan, Amira berkata banyak idea rekaan tercetus daripada kisah hidup yang dikongsikan kepadanya dan daripada kisah itu, Amira menterjemahkannya ke dalam bentuk rekaan supaya setiap aksesori bukan sahaja cantik dipakai, tetapi mempunyai kisah serta kekuatan insan di sebaliknya.
Ditemui di Festival Upcycle Batik Wear di sini baru-baru ini, Amira mengambil contoh koleksi anting-anting ‘The Lotus’ yang diinspirasikan daripada kisah rakannya, Koh Su Yen, yang pernah melalui fasa kesedihan selepas kehilangan ibu akibat kanser.
pic-3
Berasaskan simbol bunga teratai yang menguncup dan mengembang, rekaan itu melambangkan kebangkitan semula serta membawa mesej bahawa kehidupan perlu diteruskan dengan positif walaupun berdepan pelbagai ujian.
“Saya tidak menyangka rekaan berasaskan keluli tahan karat yang disertakan kisah hidup ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai peringkat umur. Ramai menganggap koleksi sebegini menarik untuk dijadikan sumber motivasi,” katanya.
Antara koleksi paling mendapat sambutan ialah anting-anting ‘The Blooming Lotus’, selain produk kerongsang dan pin yang dijual pada harga sekitar RM50 hingga RM100 bergantung pada tahap kerumitan.
Cenderung memilih motif berasaskan alam semula jadi, Amira mengakui beliau tidak pernah mengikuti sebarang latihan formal dalam pembuatan aksesori, sebaliknya kemahiran itu dipelajari secara kendiri menerusi YouTube sebelum berani menjual hasil rekaannya selepas menerima maklum balas positif daripada rakan-rakan.
pic-4
“Bahan pula tidak menjadi masalah kerana saya bekerjasama dengan sebuah syarikat perabot. Kenalan itu saya peroleh ketika turun padang untuk projek kursus seni bina dan terkejut melihat jumlah sisa buangan pembinaan yang banyak.
“Namun, bahan untuk produk saya diambil daripada syarikat perabot kerana lebih bersih dan kemas. Permukaannya juga berkilat, jadi cantik apabila dijadikan aksesori wanita,” katanya, sambil menambah aktiviti itu turut menjadi cara mengurangkan tekanan belajar serta sumber pendapatan sampingan.
Selain Amira, seramai 16 usahawan menyertai Festival Upcycle Batik Wear yang turut menampilkan pelbagai bengkel kitar tinggi batik yang dianjurkan oleh pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Pengurus projek acara berkenaan, Dania Sari Danil-Hikman, 29, berkata festival itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan dilihat sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan kitar tinggi dan kelestarian.
pic-5
“Konsep ‘upcycling’ dipilih sebagai pendekatan inovatif dan lestari untuk meminimumkan pembaziran tekstil termasuk fabrik baju kurung batik lama. Melalui ‘upcycling’, nilai batik dapat dikekalkan dalam bentuk produk baharu yang lebih praktikal dan moden,” katanya.
Beliau berkata maklum balas yang diterima amat positif, termasuk daripada peserta bengkel yang tidak pernah menjahit sebelum ini dan kini terinspirasi menjadikan kemahiran tersebut sebagai hobi atau sumber pendapatan sampingan.
-- BERNAMA