Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA, (Thailand), 23 Jan (Bernama) -- Pasangan memanah recurve lelaki negara S. Suresh dan Muhammad Azaruddin Mat menilai gandingan pertama mereka pada Sukan Para ASEAN (APG) 2025 di Thailand dengan markah lapan daripada 10 selepas meraih pingat perak sulung bersama, hari ini.
Kedua-dua atlet berusia 32 dan 33 tahun itu tewas 0-6 kepada pasangan Indonesia, Kholidin-Setiawan, pada aksi final yang disifatkan sebagai ujian mencabar memandangkan mereka hanya menjalani latihan bersama selama sebulan.
Suresh, yang pernah beraksi pada empat edisi APG, sebelum ini memenangi pingat gangsa bersama rakan gandingan berbeza pada APG 2022.
“Jurulatih memantau prestasi kami sepanjang kejohanan litar Malaysia. Prestasi kami memberangsangkan, justeru beliau memutuskan untuk menggandingkan kami.
“Nasib tidak memihak kepada kami hari ini, namun kami sepakat untuk meneruskan latihan, memperbaiki kelemahan dan memburu pingat emas pada APG akan datang di Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suresh turut menjelaskan bahawa keadaan angin yang tidak menentu memberi kesan besar pada perlawanan akhir, sekali gus menyukarkan bacaan anak panah meskipun persiapan rapi dilakukan.
Beliau turut memuji Muhammad Azaruddin yang disifatkan berjaya mengawal tekanan dengan baik dalam penampilan antarabangsa utama pertamanya.
Walaupun tewas, kedua-dua pemanah kekal optimistik dan menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran berharga dari segi teknik, komunikasi dan strategi.
“APG pertama kami bersama ini adalah batu loncatan. Kami kini tahu aspek yang perlu diperbaiki,” kata Suresh, manakala Muhammad Azaruddin mengakui tekanan perlawanan agak mencabar namun bangga dapat menyumbang sepenuhnya kepada pasukan.
-- BERNAMA