PASARAN

Indeks Utama Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

23/01/2026 07:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan sebelum ini untuk ditutup tinggi, mengekalkan paras tertinggi selama lebih enam tahun, didorong oleh minat belian berterusan dalam saham teknologi manakala pengukuhan ringgit berbanding dolar AS terus meningkatkan sentimen pelabur.

Pada 2.27 petang hari ini, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9992 berbanding dolar AS, paras paling kukuh dalam tempoh lebih tujuh tahun. Kali terakhir dilihat pada paras ini adalah pada 18 Jun 2018, pada 3.9960/9990.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.85 mata atau 0.17 peratus kepada 1,719.99 daripada 1,717.14 semasa ditutup semalam.

Indeks melepasi paras tertinggi sebelumnya, iaitu 1,719.00 dicatatkan pada 26 Feb 2019.

Indeks barometer dibuka rendah 1.30 mata kepada 1,715.84 dan bergerak antara paras terendah harian pada 1,711.89 dalam dagangan awal dan paras tertinggi pada 1,723.41 pada lewat petang sebelum menurun sedikit menjelang ditutup.

Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 570 berbanding 512 manakala 597 kaunter tidak berubah, 1,051 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan naik kepada 3.40 bilion unit bernilai RM3.49 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM3.41 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks petunjuk pasaran hampir melepasi paras halangan 1,720 dan paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, mencerminkan keyakinan yang meningkat dalam pasaran tempatan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan semula pada akhir dagangan adalah ketara, menunjukkan keadaan pasaran yang lebih baik.

“Ini mencerminkan peralihan ke arah pembelian yang lebih meluas berbanding kedudukan defensif terpilih, menunjukkan pelabur bersedia untuk melakukan urus niaga apabila keyakinan pada tahap stabil,” katanya.

Beliau berpendapat aliran masuk pelabur asing yang berterusan dicatatkan pada Rabu dan Khamis terus memberikan sokongan yang bermakna.

“Aliran masuk ini membantu memperkukuh sentimen pada sesi pagi yang dicatatkan rendah dan memainkan peranan penting dalam menyokong peningkatan semula pada sebelah petang, mengukuhkan pandangan bahawa penyertaan luar kekal sebagai kuasa penstabil yang penting untuk pasaran tempatan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 14 sen kepada RM11.36, IHH Healthcare naik 11 sen kepada RM8.60, Public Bank dan CIMB, masing-masing kekal tidak berubah pada RM4.78 dan RM8.30 manakala Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM13.80.

Dalam senarai paling aktif, Capital A meningkat 2.5 sen kepada 54.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 81.5 sen, AirAsia X melonjak 18 sen kepada RM1.84 manakala Press Metal Aluminium merosot sembilan sen kepada RM7.41 dan Tanco Holdings berkurangan satu sen kepada RM1.30.

Kaunter paling untung termasuklah Dutch Lady Milk Industries yang naik 40 sen kepada RM32.34, Fraser & Neave Holdings menambah 22 sen kepada RM35.86, Hong Leong Industries meningkat 20 sen kepada RM17.18, Time Dotcom menokok 21 sen kepada RM5.96 dan Telekom Malaysia naik 18 sen kepada RM7.96.

Antara kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.80 kepada RM115.20, Hong Leong Bank berkurangan 20 sen kepada RM24.00, United Plantations menurun 22 sen kepada RM30.50, Malaysian Pacific Industries susut 88 sen kepada RM33.12 dan UWC berkurangan 19 sen kepada RM4.25.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas meningkat 11.19 mata kepada 12,660.54 dan Indeks FBM Top 100 naik 12.24 mata kepada 12,455.80.

Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 5.60 mata kepada 12,309.65, Indeks FBM Mid 70 merosot 20.52 mata kepada 17,562.22 dan Indeks FBM ACE menurun 32.25 mata kepada 4,905.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.91 mata kepada 20,803.17 dan Indeks Perladangan meningkat 11.14 mata kepada 8,369.77 manakala Indeks Tenaga merosot 9.0 mata kepada 769.38 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.37 mata kepada 176.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.92 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 1.57 bilion unit bernilai RM3.15 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 980.15 juta unit bernilai RM109.52 juta daripada 722.66 juta unit bernilai RM915.49 juta sebelum ini. 

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 500.36 juta unit bernilai RM153.45 juta daripada 514.75 juta unit bernilai RM168.56 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 429.36 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (374.13 juta), pembinaan (158.64 juta), teknologi (236.67 juta), perkhidmatan kewangan (120.58 juta), hartanah (247.15 juta), perladangan (25.70 juta), amanah pelaburan hartanah (26.11 juta), dana tertutup (33,400), tenaga (142.34 juta), penjagaan kesihatan (68.67 juta), telekomunikasi dan media (32.46 juta), pengangkutan dan logistik (39.83 juta), utiliti (18.59 juta) dan amanah perniagaan (12,300).

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516065