KULIM, 26 Jan (Bernama) -- Seorang bekas tenaga pengajar di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki empat bulan lepas.
Muhammad Abdullah Abu Bakar, 26, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 11 tahun di asrama pusat tahfiz di Sungai Kob, kira-kira 10 malam pada 29 Sept tahun lepas.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Abdullah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya R Jayasri memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 , namun tertuduh yang diwakili peguam daripada firma Hisham Yunus & Co, memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh telah diberhentikan kerja dan tidak mempunyai pendapatan.
Majistret Nur Hamizah Mat Shah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selain memerintahkan tertuduh supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 3 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan kejadian pelajar tahfiz dirotan seorang lelaki di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, di sini, pada September tahun lepas yang video kes itu tular di media sosial.
Pelajar terbabit didakwa dirotan kerana dikatakan mengganggu murid lain sedang belajar.
-- BERNAMA