IPOH, 30 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan pelbagai persiapan awal bagi memastikan kesiapsiagaan operasi sekolah susulan pelaksanaan kemasukan murid tahun satu melibatkan situasi dua kohort pada tahun hadapan.
Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata situasi dua kohort itu melibatkan kemasukan serentak kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun ke tahun satu, dengan KPM telah membuat persediaan awal dari segi pengoperasian sekolah, termasuk pengisian guru dan kemudahan bilik darjah.
Beliau berkata KPM akan memantau jumlah murid berusia enam tahun yang mendaftar selepas 31 Mac ini bagi merancang keperluan sebenar di peringkat sekolah dan ibu bapa mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat pertimbangan.
“Perkara ini merupakan satu kebimbangan pada semua pihak, namun perancangan KPM telah pun bermula lebih awal termasuk dari segi ketersediaan guru dan fasiliti di semua sekolah.
"Kadar pengisian guru di bawah Kerajaan MADANI telah meningkat daripada 95 peratus kepada lebih 97 peratus merentasi semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Yuk Choy (SUWA), di sini hari ini.
Wong berkata KPM sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi menambah pengambilan guru, termasuk langkah interim sementara menunggu latihan guru baharu yang lazimnya mengambil masa hingga lima tahun melalui Institut Pendidikan Guru (IPG).
"KPM sedang mengenal pasti sekolah yang berdepan kekurangan bilik darjah, khususnya sekolah padat dan akan melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Melalui kaedah modular IBS, bilik darjah tambahan boleh disiapkan dalam tempoh empat hingga lima bulan berbanding pembinaan konvensional yang mengambil masa dua hingga tiga tahun seperti yang dilakukan di Cyberjaya yang terbukti berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah sekolah yang kekurangan bilik darjah, Wong berkata kementerian masih dalam peringkat mengenal pasti keperluan sebenar sebelum sebarang angka muktamad dapat diumumkan.
“Kita memang mempunyai data sekolah padat namun bagi sekolah yang sebelum ini tidak padat, penilaian semula perlu dibuat bagi memastikan kemudahan mencukupi,” katanya.
-- BERNAMA