Oleh Mohd Taha Yaacob
JERTIH, 30 Jan (Bernama) -- Inisiatif kerajaan membuka peluang perniagaan kepada kedai runcit, koperasi dan pasar mini di luar bandar dengan menjadi Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sekadar memudahkan penerima bantuan itu, tetapi turut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi peniaga kecil dan sederhana.
Pengurus kedai koperasi Coopmart Pasir Akar Zainol Zurian Baharuddin berkata kedai runcit di bawah Koperasi Tenaga Muda Hulu Besut (KOPTEM) yang terletak di pekan kecil di Pasir Akar, di sini itu mencatat keuntungan hingga 100 peratus sejak terlibat dengan program SARA pada Sept 2023.
“Kedai runcit ini ialah premis perniagaan kedua mendaftar dengan Program SARA di daerah Besut selepas sebuah pasar raya yang terletak di bandar Jertih.
“Ketika kerajaan mula memperkenalkan SARA, pihak pengurusan KOPTEM terus merebut peluang mendaftar Coopmart Pasir Akar sebagai Rakan Niaga SARA.
“Hal ini berikutan keyakinan bahawa langkah tersebut bukan sahaja memberikan impak positif kepada perniagaan koperasi, tetapi juga membantu penduduk kampung mendapat keperluan asas tanpa perlu ke bandar Jertih yang terletak lebih 11 kilometer (km) dari kedai ini,” katanya ketika ditemui Bernama di premis koperasi itu dekat sini.
Zainol Zurian berkata kadar penebusan SARA di premis terlibat meningkat daripada RM30,000 sebulan pada 2023 kepada RM120,000 sebulan setakat akhir tahun lepas.
Malah, katanya, dalam tempoh sama pihaknya mendapati terdapat peningkatan transaksi pembelian barangan yang ketara membabitkan pembeli yang bukan penerima SARA.
“Apabila menjadi Rakan Niaga SARA, secara langsung akan membantu mempromosikan kedai kita kepada orang ramai. Jadi, kedai runcit di luar bandar seperti kami pun mencatat peningkatan jumlah pelanggan dan jualan yang ketara termasuk daripada pelanggan bukan penerima SARA,” katanya.
Zainol Zurian berkata peningkatan keuntungan jualan itu turut dikongsi bersama dengan ahli koperasi yang sebahagian besarnya merupakan penduduk di sekitar Hulu Besut.
Beliau berkata kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan B40 dari kampung sekitar di Hulu Besut seperti Kampung Felcra Keruak dan Perkampungan Orang Asli Kuala Sayap.
“Dengan adanya SARA ini sepatutnya tidak ada lagi isu rakyat atau penduduk tidak dapat makan kerana mereka (penerima SARA) boleh mendapat beras dan keperluan lain di kawasan berdekatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik kedai runcit Sri Bekok Trading di Kampung Bukit Payong di Hulu Besut, Nora Mohd Nor, 50, turut mengakui sejak kedai runcitnya didaftarkan sebagai Rakan Niaga SARA pada 2024, hasil jualan di premisnya meningkat.
“Bukan sahaja keuntungan bertambah, tetapi kedai runcit kami yang terletak hampir 40 km dari bandar Jertih ini juga dapat membantu penduduk luar bandar menjimatkan perbelanjaan mereka ketika mahu membuat penebusan bantuan SARA.
“Kalau tidak ada Rakan Niaga SARA di kawasan luar bandar ini, penerima terpaksa ke bandar Jertih dan mereka perlu menanggung kos pengangkutan pula untuk ke sana,” katanya.
Seorang penerima SARA di Hulu Besut, Hamidah Zakaria, 55, berkata kewujudan kedai runcit yang menyediakan perkhidmatan penebusan SARA di luar bandar seperti di Kampung Bukit Payong dan Kampung Pasir Akar, di sini dianggap sebagai nikmat yang bermakna kepada penduduk.
“Bayangkan kami terpaksa ke bandar Jertih hanya untuk menebus barangan bernilai antara RM50 hingga RM100, sedangkan kos minyak kereta sahaja sekurang-kurangnya RM20. Namun, dengan adanya Rakan Niaga SARA di kawasan ini, walaupun baki SARA dalam kad pengenalan hanya tinggal RM20, masih berbaloi untuk kami membuat penebusan,” katanya.
-- BERNAMA