SUKAN

Skuad Ragbi Lelaki Negara Juara SEA 7s

31/01/2026 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) negara muncul juara Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2026 selepas menewaskan Thailand 10-5 pada aksi final di Stadium Yio Chu Kang, Singapura hari ini.

Ketua jurulatih ragbi 7s negara Nik Safuan Ismade Nik Man berkata pemainnya layak diberi pujian selepas menunjukkan komitmen dan kesungguhan ketika aksi dan persiapan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

"Walaupun tempoh persiapan singkat komitmen yang diberikan oleh pemain amat memberangsangkan dan mereka telah berjaya menunjukkan potensi sebenar," katanya kepada pemberita menerusi rakaman video yang dikongsi kepada pemberita hari ini. 

Malaysia melangkah ke final selepas muncul juara Kumpulan B apabila membelasah Kemboja 66 tanpa balas sebelum menewaskan Brunei 57-7 dan mengecewakan Singapura 38-0 di semalam.

Berbeza nasib, skuad ragbi wanita negara apabila terpaksa akur di tempat kedua selepas tewas 41-0 kepada Thailand dalam aksi final kejohanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518986