Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sebuah drama mikro sempena Tahun Baharu Cina, When Luck Meets Love, menjadi karya pertama terbitan Thousands of Years Media (ToYm) yang dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga kerja produksi tempatan.
Pengasas dan penerbit ToYm Datuk Jment Lim berkata sebelum ini syarikat telah mendapatkan khidmat perunding dari China untuk memahami format pembuatan drama mikro, tetapi bagi projek terbaharu berkenaan ia dihasilkan sepenuhnya secara dalaman daripada penulisan skrip, penggambaran hingga penyuntingan.
“Sebelum ini, memang kita mendapat bimbingan perunding dari China untuk memahami apa itu drama mikro. Walau bagaimanapun, untuk projek ini semuanya daripada skrip hingga penyuntingan dilakukan oleh rakyat Malaysia. Ia merupakan produk keluaran Malaysia 100 peratus,” katanya kepada Bernama selepas tayangan perdana drama mikro tersebut di sini semalam.
Drama mikro lazimnya menampilkan episod pendek berdurasi dua hingga tiga minit dan direka khusus untuk tontonan melalui peranti mudah alih serta media sosial, membolehkan penceritaan disampaikan secara pantas dan ringkas. Format yang lebih pendek ini juga memberi ruang lebih luas kepada penerbit untuk menjangkau penonton digital.
pic-2
When Luck Meets Love diarahkan oleh Chan Wai Cheong, yang mempunyai pengalaman luas dalam pengarahan drama televisyen. Drama ini dibintangi barisan pelakon termasuk Ng Xin Yi, Jayden Chen, Cathryn Lee, Xiao Wei Wei dan Sam Liew, serta penampilan istimewa Amber Chia dan anak lelakinya Ashton Wong.
Drama bersiri itu mengandungi 67 episod, dengan setiap episod berdurasi dua hingga tiga minit, menjadikan keseluruhan masa tayangan kira-kira 100 minit. Ia akan ditayangkan secara digital di platform media sosial rasmi ToYm bermula hari ini.
Mengisahkan He Yu Ting, seorang pemilik rumah penginapan yang menghindari daripada sebarang hubungan peribadi akibat perpisahan silam yang dilaluinya. Rutin kehidupannya mula terganggu apabila Wang Jing Sheng kembali ke Fortune Town atas urusan perniagaan yang memberi kesan kepada komuniti yang ingin dilindunginya. Kepulangan lelaki itu memaksa kedua-dua mereka berdepan konflik lama yang belum selesai dan membuat keputusan sukar.
Sementara itu, Lim berkata format kandungan pendek dipilih bagi memenuhi minat tontonan digital masa kini, selain meletakkan Malaysia pada kedudukan yang kompetitif dalam segmen baharu pasaran hiburan global.
pic-3
“Jika kita hanya menghasilkan filem atau drama konvensional, pasaran adalah terhad dan sukar untuk ditembusi. Drama mikro masih baharu di seluruh dunia, jadi ini merupakan peluang terbaik untuk kita bersaing dengan negara lain,” katanya menambah syarikat merancang untuk mengembangkan pasaran siri tersebut, termasuk ke China melalui saluran media sosial rasmi.
Beliau berkata drama mikro akan menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat itu dan berperanan sebagai pemangkin kepada usaha memperluas perniagaan kandungan ToYm.
Bagi menyokong hala tuju itu, Lim berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada empat komponen teras iaitu hiburan, pendidikan, teknologi dan pemasaran, dengan matlamat membina ekosistem yang mampan.
Syarikat tersebut sebelum ini menghasilkan drama mikro berjudul In Character, yang merekodkan lebih 33 juta tontonan di Malaysia dan lebih 168 juta tontonan di Douyin, sekali gus membuktikan potensi komersial format drama pendek.
-- BERNAMA