JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Taring: Pasukan Polis Marin Rampas Minyak Sawit, Kenderaan Bernilai Lebih RM500,000

05/02/2026 12:50 PM

IPOH, 5 Feb (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya merampas minyak sawit mentah dan kenderaan bernilai RM568,081.77 dalam OPS Taring Landai di sekitar Ulu Kayan, Setiawan pada Selasa lepas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Jaffri Bidin berkata operasi bersama Bahagian Penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Bagan Datuk itu mengesan sebuah lori tangki dan sebuah van pelbagai guna dalam keadaan mencurigakan berada di dalam kebun kelapa sawit di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 55 dan 35 tahun, iaitu pemandu lori tangki serta pemandu van sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak sawit secara tidak sah dari lori tangki ke tong minyak yang berada dalam muatan van berkenaan dengan menggunakan hos dan pam.

“Susulan itu, pasukan polis marin dan MPOB telah merampas satu tong IBC, empat tong drum berisi cecair disyaki minyak sawit, satu pam minyak berserta hos, sebuah van dan sebuah lori tangki yang membawa muatan anggaran 33 tan minyak sawit disyaki minyak isirong sawit mentah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaffri berkata kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) serta barang-barang rampasan itu dibawa dan diserahkan kepada pihak MPOB Bagan Datuk, Perak bagi tujuan siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520346