JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Briged Tengah Tumpas Sindiket Migran, Dua Tekong Dan 43 Pti Ditahan Di Sabak Bernam

19/01/2026 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menerusi unit khas Delta berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran selepas menahan dua tekong dan 43 pendatang tanpa izin dalam serbuan di Sabak Bernam, Selangor pada Khamis lepas.

Serbuan pada kira-kira 5.30 pagi menerusi Ops Taring Delta itu menyaksikan kesemua migran warga Indonesia yang terdiri daripada 31 lelaki dan 12 wanita dewasa ditahan ketika berkumpul di pesisir pantai untuk keluar dari Malaysia.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata turut ditahan dua lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai tekong laut dan pihaknya telah merampas sebuah bot nelayan dan dua unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM51,000.

“Unit khas Delta ini telah melakar satu kejayaan menerusi pelaksanaan Ops Taring Delta dengan menumpaskan sindiket penyeludupan migran yang bergiat aktif di kawasan perairan Selangor.

“Hasil risikan mendapati sindiket ini mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk urusan keluar dari negara ini secara tidak sah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA Briged Tengah di sini hari ini.

Mengulas mengenai taktik sindiket, Hakemal mendedahkan penyeludup migran dikesan beralih daripada menggunakan bot laju kepada bot nelayan bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

“Bot nelayan ini, pada pendapat saya, mungkin boleh mengaburi (pihak berkuasa dan orang ramai)... bot laju ini orang tahu kenapa guna… tapi kalau bot nelayan ini, tanggapan pertama orang ingat ini adalah nelayan,” katanya.

Beliau juga berkata lokasi penyeludupan sering berubah bagi mengelakkan intipan polis, dan sindiket dikesan menggunakan media sosial untuk mengiklankan khidmat mereka namun tindakan itu telah disekat dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Hakemal turut memaklumkan bahawa trend penyeludupan migran menunjukkan peningkatan ketara menjelang musim perayaan kerana kemungkinan ramai migran khususnya dari negara jiran ingin kembali ke negara asal untuk beraya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata statistik bagi kes tangkapan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dikendalikan oleh Briged Tengah meningkat sejak tiga tahun lepas iaitu 13 pada 2023 dan 17 bagi 2024 namun melonjak kepada 33 kes pada 2025 dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM4.7 juta.

Hakemal berkata bagi tempoh 1 hingga 19 Jan tahun ini sahaja, sebanyak 22 serbuan telah dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan nilai rampasan keseluruhan RM3.3 juta, membabitkan 442 tangkapan.

“Semenjak unit khas Delta ditubuhkan pada 11 Ogos 2025, pasukan ini telah berjaya melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dalam membanteras jenayah penyeludupan migran khususnya di sempadan perairan Malaysia melibatkan Selangor hingga ke Johor,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam untuk terus menjadi mata dan telinga pihak polis bagi menyalurkan maklumat tepat demi memastikan keselamatan sempadan perairan negara terus terpelihara.

Kesemua migran yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 26(2) ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514013