KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Malaysia meningkat satu peratus pada suku keempat 2025, mengekalkan kadar yang sama bagi tiga suku tahun berturut-turut, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 3.1 peratus berbanding peningkatan 3.4 peratus pada suku ketiga 2025.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (3.5 peratus) dan aktiviti perkhidmatan minuman (tiga peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, indeks pengangkutan meningkat 2.2 peratus berbanding kenaikan 0.5 peratus pada suku tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara yang mencatatkan peningkatan 7.1 peratus.
“Indeks pendidikan juga meningkat 1.5 peratus (suku ketiga 2025: 1.4 peratus), didorong oleh pendidikan menengah (2.3 peratus) dan pendidikan tinggi (1.6 peratus).
“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan ialah kesihatan (0.7 peratus), aktiviti hartanah (0.6 peratus) dan profesional (0.5 peratus),” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan penurunan 3.8 peratus, selepas peningkatan perlahan 0.4 peratus pada suku ketiga 2025 manakala indeks maklumat dan komunikasi juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus.
Menurutnya, pada asas suku tahunan, IHPRP meningkat 0.3 peratus berbanding 0.1 peratus pada suku tahun sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh indeks pengangkutan (1.2 peratus) dan penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.8 peratus).
“Selain itu, indeks aktiviti hartanah, pendidikan dan kesihatan masing-masing mencatatkan peningkatan 0.2 peratus manakala indeks profesional meningkat 0.1 peratus, sama seperti pada suku tahun sebelumnya.
“Bagaimanapun, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi menyusut sebanyak 3.3 peratus manakala indeks maklumat dan komunikasi kekal tidak berubah,” katanya.
Mohd Uzir berkata IHPRP mencatatkan peningkatan marginal 0.9 peratus pada 2025 berbanding kenaikan 0.7 peratus pada 2024.
Peningkatan ini terutamanya didorong oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (3.4 peratus), diikuti oleh indeks kesenian, hiburan dan rekreasi (1.8 peratus) dan pendidikan (1.3 peratus).
“Indeks lain yang mencatatkan peningkatan termasuk kesihatan (0.7 peratus), profesional (0.6 peratus) dan aktiviti hartanah (0.2 peratus).
“Sebaliknya, indeks pengangkutan menyusut 0.4 peratus, dan indeks maklumat dan komunikasi juga mencatatkan penurunan perlahan 0.1 peratus,” katanya.
-- BERNAMA