PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari

05/02/2026 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengekalkan momentum penurunannya pada tengah hari susulan aktiviti pengambilan untung dalam kaunter-kaunter wajaran tinggi terpilih, terutamanya dalam sektor produk dan perkhidmatan industri, kesihatan, serta utiliti.

Saham IHH Healthcare susut 17 sen kepada RM8.79, Press Metal Aluminium berkurangan 16 sen kepada RM7.50, manakala YTL Power International merosot 12 sen kepada RM3.08. Secara keseluruhan, kaunter-kaunter ini menyumbang penurunan 6.73 mata daripada indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.41 peratus, atau 7.09 mata, kepada 1,735.73 berbanding paras penutupan semalam pada 1,742.82.

Indeks penanda aras ini dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,745.82, diniagakan antara 1,735.73 dan 1,747.18 pada sesi pagi.

 Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi melebihi kaunter untung sebanyak 856 berbanding 251, dengan 393 kaunter tidak berubah, 1,154 kaunter tidak diniagakan, dan 15 kaunter digantung.

Jumlah dagangan mencatatkan 2.27 bilion unit saham bernilai RM1.74 bilion.

Selepas bursa tempatan ditutup rendah pada Rabu, indikator teknikal menunjukkan momentum  bertukar negatif, dengan paras rintangan dijangka sekitar 1,757–1,762 dan sokongan pada 1,722–1,727.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan prestasi bursa tempatan akan mengikuti sentimen Wall Street.

“Bagaimanapun, segmen teknologi terpilih, terutamanya peralatan pembuatan wafer (WFE) dan peralatan ujian automatik (ATE), mungkin mendapat sokongan.

"Segmen ini terus mendapat manfaat daripada prospek pengeluar cip global, dengan perbelanjaan modal yang dijangka kekal tinggi tahun ini, disertai bekalan memori jalur lebar tinggi (HBM) yang terhad,” katanya.

Firma itu berkata saham penternakan ayam terus menarik minat pelabur berikutan pengukuhan ringgit, walaupun subsidi kerajaan telah ditamatkan.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi lain, Tenaga Nasional turun 12 sen kepada RM13.98, YTL Corporation merosot lima sen kepada RM1.99, dan Petronas Gas susut 26 sen kepada RM18.24, manakala Petronas Chemicals naik 15 sen kepada RM3.34 dan Petronas Dagangan meningkat 40 sen kepada RM20.36.

Di senarai kaunter paling aktif, Zetrix AI turun 9.5 sen kepada 70.5 sen, Pharmaniaga merosot 3.5 sen kepada 29 sen, Capital A susut 2.5 sen kepada 57 sen, Velesto Energy turun satu sen kepada 29.5 sen, manakala MMAG kekal pada lima sen.

Antara kaunter meningkat utama, Nestle naik RM1.00 kepada RM112.90, Petronas Dagangan meningkat 40 sen kepada RM20.36, Allianz Malaysia naik 14 sen kepada RM22.44, Batu Kawan meningkat 12 sen kepada RM19.62, manakala Kuala Lumpur Kepong menambah 10 sen kepada RM19.82.

Fraser & Neave mencatat penurunan terbesar, merosot RM1.46 kepada RM33.90, United Plantations susut RM1.16 kepada RM28.64, BLD Plantation berkurangan 80 sen kepada RM15.00, Malaysian Pacific Industries turun 76 sen kepada RM31.74, dan Insights Analytics merosot 31 sen kepada RM1.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 80.02 mata kepada 12,492.59, Indeks FBM Emas susut 91.39 mata kepada 12,662.32, Indeks FBM Emas Shariah merosot 140.65 mata kepada 12,145.35, Indeks FBM ACE turun 84.60 mata kepada 4,611.55, manakala Indkes FBM Mid 70 susut 241.80 mata kepada 17,267.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.74 mata kepada 21,496.05, Indeks Perladangan merosot 39.28 mata kepada 8,345.67, Indeks Tenaga turun 17.95 mata kepada 737.96, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.82 mata kepada 174.76.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520383