JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Agensi Pelancongan Didakwa Salah Guna Wang RM41,940

06/02/2026 03:26 PM

SEREMBAN, 6 Feb (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyalahgunakan wang seorang lelaki berjumlah RM41,940.

Siti Fairuz Omar, 38, didakwa menyalahgunakan harta milik mangsa berusia 42 tahun, iaitu wang berjumlah RM41,940 di sebuah premis di Jalan 2/3 SIGC Paroi, di sini pada 7 Sept 2025 hingga 19 Nov 2025.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon jaminan RM6,000, manakala tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan RM1,000 kerana hilang punca pendapatan serta menanggung ibu yang sedang sakit.

Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Mac ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520861