KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) mengingatkan pelajar agar mempertimbangkan aspek keselamatan diri dan komitmen akademik sebelum menyertai sebarang aktiviti luar kampus.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM Profesor Dr Zamri Radzi berkata pihak universiti menghormati hak mahasiswa yang peka terhadap isu semasa dan menyuarakan pandangan namun kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara berhemah serta berlandaskan undang-undang.
“Keprihatinan terhadap isu masyarakat merupakan sebahagian daripada pembentukan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa.
“Namun demikian, kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara berhemah, berlandaskan undang-undang dan mengambil kira keselamatan diri serta kesejahteraan semua pihak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga berkata UM mengambil maklum berhubung satu perarakan ke Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 9 Feb ini.
Zamri berkata memandangkan perarakan itu dibuat pada musim peperiksaan, pihak universiti menasihati pelajar agar membuat pertimbangan sewajarnya berhubung komitmen akademik masing-masing.
Beliau berkata kumpulan yang dikaitkan dengan penganjuran itu dikenali sebagai Liga Mahasiswa Universiti Malaya bukan persatuan pelajar berdaftar dan tidak mewakili pendirian rasmi UM mahupun keseluruhan mahasiswa universiti berkenaan.
Justeru, Zamri berkata UM komited menyediakan saluran dialog dan ruang perbincangan yang teratur di peringkat kampus bagi membolehkan pandangan dan kebimbangan disuarakan secara konstruktif, beradab serta berlandaskan nilai intelektual universiti.
Perarakan ke Parlimen oleh sekumpulan pelajar UM pada Isnin ini dipercayai bertujuan mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
-- BERNAMA