DUNIA

Persahabatan Arab-China Kukuh Berdasarkan Kerjasama Erat Dan Boleh Dijangka

09/02/2026 05:08 PM

BEIJING, 9 Feb (Bernama-CMG) -- Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit menyifatkan hubungan persahabatan antara negara-negara Arab dengan  China adalah kukuh berdasarkan kerjasama yang erat dan boleh dijangka.

Beliau menyatakan bahawa China tidak pernah mencampuri urusan dalaman negara lain, dan juga tidak pernah mengemukakan sebarang tuntutan sepihak dalam hubungan kerjasama, sebaliknya hanya menunjukkan sikap yang ikhlas dan kesungguhan berdasarkan persahabatan dan prinsip yang sama rata. Inilah ciri utama yang paling menonjol dalam kerjasama antara negara-negara Arab dengan China, kata beliau dalam temu bual dengan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Menyentuh tentang Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-80  Liga Arab bakal diadakan di Beijing, Ahmed  berkata:

"Sebenarnya kami telah mengadakan majlis rasmi untuk menyambut ulang tahun ke-80 Liga Arab di Kaherah. Namun selain itu, kami juga ingin menganjurkan satu acara di suatu negara bukan Arab yang mempunyai pejabat perwakilan kami, untuk memperingati perkembangan Liga Arab selama 80 tahun.

Setelah melakukan pertimbangan yang teliti, kami memilih China. Ini kerana kami telah menjalin hubungan kerjasama yang mendalam dengan China dalam 20 tahun lalu."

Menurut beliau, Liga Arab yang ditubuhkan pada Mac tahun 1945, bersama dengan China telah menubuhkan Forum Kerjasama Negara-negara Arab-China pada tahun 2004.

Seterusnya, Sidang Kemuncak Arab-China edisi pertama berjaya diadakan di Arab Saudi pada Disember tahun 2022, dan kemudian edisi kedua sidang kemuncak itu akan diadakan di Beijing pada tahun ini.

"Saya berharap edisi kedua sidang kemuncak itu dapat berlangsung dengan lancar pada tahun 2026, seramai mungkin pemimpin negara Arab dapat hadir pada waktu itu, dan kerjasama antara dunia Arab dengan China terus berkembang dalam jangka masa panjang seperti yang kita jangkakan," kata beliau.

Ahmed berkata jumlah perdagangan dua hala antara dunia Arab dengan China hanyalah US$46 bilion (RM181.2 bilion) pada tahun 2004, namun setakat tahun 2025, angka ini telah hampir mencapai US$409 bilion (RM1.61 trilion), meningkat kira-kira 10 kali ganda. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa kedua-dua pihak boleh memanfaatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan yang semakin rancak.

"Semua negara Arab cenderung untuk melibatkan diri dalam kerjasama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan kami semuanya sebagai anggota BRI menekankan komitmen untuk bersama-sama memajukan pelaksanaan inisiatif ini berdasarkan kerjasama secara langsung dengan China.

"Boleh dikatakan, prospek kerjasama Arab-China sangat cerah dan luas," kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521882