JENAYAH & MAHKAMAH

Pelombong Emas Didakwa Rompak Wanita China RM2.1 Juta 

09/02/2026 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Seorang pelombong emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China membabitkan kerugian lebih RM2.1 juta, tahun lepas.

Mohamad Al-Farouq Mat Isa, 41, didakwa bersama-sama tiga individu yang telah dituduh, merompak suri rumah Chen Kexue, 31, di sebuah vila di Bukit Damansara di sini pada 10.10 malam, 21 Julai 2025.

Ia membabitkan seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai berjumlah RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian keseluruhan RM2,146,000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Subri Hashim tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihaknya memohon tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Bazlinda Bahrin merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan mempunyai sembilan anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan tiada risiko untuk dia melarikan diri,” kata peguam itu.

Hakim Suhaila Haron membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan kes.

Tahun lepas, Mohd Syaqir Mohd Ami, 30, Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, dan Syed Ali Imran Alqudri Syed Zulkefeli @ Syed Zulalqudri, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan sama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521845