GAYA HIDUP

Penjenamaan ASWARA Sebagai UPR Perlukan Dana, Kajian Akta- Timbalan Rektor ASWARA

12/02/2026 09:11 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Di sebalik hasrat pencinta seni untuk mengabadikan legasi Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee melalui penjenamaan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan nama legenda seni itu, timbul persoalan akan kesiapsiagaan institusi berkenaan untuk melangkah ke fasa tersebut.

Cadangan mengangkat ASWARA sebagai Universiti P. Ramlee (UPR) dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada maestro seni negara, namun langkah itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh melibatkan struktur organisasi, kekuatan kewangan dan kerangka perundangan yang lebih kompleks.

Perkara itu disentuh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (Menanggung Kerja Jawatan Rektor) ASWARA Prof Madya Dr Zulkifli Ab Rashid dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata cadangan menukar nama kepada UPR perlu dinilai secara bersepadu dari sudut kesiapsiagaan institusi serta implikasi struktur dan kewangan yang terlibat.

Walaupun mengakui idea tersebut lahir daripada kecintaan terhadap seni dan tokoh berkenaan, Zulkifli berpandangan ASWARA pada masa ini belum bersedia untuk beralih kepada status universiti penuh.

“Penjenamaan ini menuntut komitmen kewangan, pembangunan baharu serta penstrukturan semula pentadbiran yang menyeluruh. Untuk menjadi universiti penuh, ASWARA memerlukan dana yang besar serta penyusunan semula organisasi. Buat masa ini, kita tidak mempunyai dana sedemikian,” katanya.

Menurut beliau, usaha menaik taraf ASWARA sebagai universiti awam pernah dibincangkan pada 2018 di peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pengajian Tinggi dengan hasrat menjadikannya universiti awam ke-21 negara.

Bagaimanapun, proses tersebut tidak diteruskan kerana melibatkan isu perundangan dan kewangan yang signifikan termasuk keperluan meminda Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653).

pic-2

“ASWARA ditubuhkan di bawah Akta 653, manakala universiti awam tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti. Sebarang perubahan status memerlukan penelitian semula kedua-dua akta berkenaan serta kelulusan di peringkat Parlimen,” jelasnya.

Cadangan menjadikan ASWARA sebagai UPR atau Akademi Seni P. Ramlee pernah mendapat perhatian umum sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan menjadi antara manifesto Barisan Nasional ketika itu.

Namun, usaha berkenaan tidak dapat direalisasikan susulan pertukaran kerajaan. Bernama sebelum ini melaporkan hasrat Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang untuk mengemukakan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata dari sudut akademik, ASWARA telah lama beroperasi setara universiti dengan menawarkan pengajian bermula peringkat asasi hingga doktor falsafah.

Beliau berkata kedudukan institusi itu perlu difahami berdasarkan sejarah penubuhannya yang bermula di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sebelum diangkat sebagai institusi pengajian tinggi seni, budaya dan warisan melalui Akta 653, dan dikenali secara rasmi sebagai ASWARA pada 1 Ogos 2006.

ASWARA seterusnya berfungsi sebagai badan berkanun Persekutuan mulai 1 Okt 2008, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pusat pengajian tinggi khusus dalam bidang seni dan warisan negara.

“Dari segi struktur akademik, kita sudah berada pada tahap universiti. Nama tidak menjejaskan kualiti atau tahap pengajian. Di luar negara pun ada institusi yang kekal menggunakan nama akademi atau kolej tetapi maju dari segi pengajian seperti Akademi Filem Beijing,” katanya.

Tambah beliau, legasi Allahyarham P. Ramlee turut diperkasa melalui pelaksanaan Kursi P. Ramlee di peringkat pascasiswazah.

“Kita meraikan idea ini kerana ia lahir daripada kecintaan terhadap seni. Cuma dari sudut pelaksanaannya, ia perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523032