PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melancarkan pelan hala tuju pembangunan strategik komprehensif bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara, meningkatkan tadbir urus serta memodenkan operasi di semua pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelan bagi tempoh 10 tahun itu menggariskan hala tuju jangka panjang agensi berkenaan termasuk tanggungjawab teras serta agenda reformasi yang dilaksanakan.
“AKPS telah mengenal pasti empat penanda aras utama yang menjadi panduan kepada penubuhan dan perkembangan agensi itu.
“Pertama, melibatkan tanggungjawab mencegah ancaman terhadap keselamatan negara, memperkukuh kutipan hasil melalui pengoptimuman rampasan, memantapkan integriti dalam pelaksanaan penguatkuasaan dan terakhir, memastikan masa pelepasan yang efektif tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin Nasution berkata pelan strategik itu dibahagikan kepada dua fasa utama, dengan fasa pertama (2025–2029) memberikan tumpuan kepada proses penyatuan dan pengambilalihan enam agensi utama di bawah satu kerangka pengurusan sempadan bersepadu.
“Penekanan utama pada fasa pertama ini ialah penyusunan semula dan penyatuan sumber manusia, perjawatan, proses pengambilan, aset serta teknologi selain turut melibatkan pelaksanaan latihan bersepadu dan silang perkhidmatan bagi membentuk satu identiti agensi sempadan nasional yang padu, sekali gus mengurangkan pengasingan berdasarkan latar institusi asal,” katanya.
Bagi fasa kedua (2030–2034), beliau berkata AKPS akan memfokuskan kepada pengukuhan kapasiti institusi serta usaha pemodenan menyeluruh.
“Inisiatif utama termasuklah pelantikan kepimpinan dan pegawai baharu yang berteraskan nilai integriti tinggi. Berbeza dengan fasa pertama yang menumpukan kepada penyerapan pegawai sedia ada, fasa ini juga akan memberikan penekanan kepada pemodenan budaya kerja serta mempercepat pendigitalan pada peringkat operasi,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan, reformasi yang dilaksanakan bertujuan memastikan empat fungsi teras AKPS dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui penekanan terhadap aspek integriti, kecekapan dan keselamatan negara.
-- BERNAMA