COLOMBO, 14 Feb (Bernama-Xinhua) -- Larva denggi ditemui di 40 peratus sekolah yang diperiksa oleh Kementerian Kesihatan Sri Lanka, menurut seorang pegawai dari Unit Kawalan Denggi Kebangsaan negara itu, lapor Xinhua.
Pemangku Pengarah Unit Kawalan Denggi Kebangsaan Kapila Kannangara memberitahu wartawan pada Sabtu yang tinjauan terbaharu menunjukkan peningkatan peratusan sekolah yang dikesan mempunyai larva nyamuk denggi.
Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan meneruskan kempen pemeriksaan dan pencegahan bagi mengurangkan tempat pembiakan serta mengehadkan penularan denggi, yang kekal sebagai kebimbangan utama kesihatan awam di negara itu.
Kannangara turut memaklumkan bahawa aktiviti pengasapan dijalankan di pusat yang menjadi lokasi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (Peringkat Biasa) bagi melindungi pelajar dan kakitangan sepanjang tempoh peperiksaan.
Pegawai kesihatan Sri Lanka berulang kali menggesa sekolah dan komuniti agar menghapuskan air bertakung serta memastikan persekitaran bersih bagi mengurangkan pembiakan nyamuk dan membendung penularan denggi.
Sri Lanka merekodkan lebih 51,000 kes denggi pada 2025.
-- BERNAMA-XINHUA