KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala dua individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 443.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Bukit Beruntung pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan melibatkan sebuah lori muatan batu kapur dan dua kereta itu pada 7.33 pagi.
“Sebanyak 14 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerah ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan mendapati pemandu lori yang berusia 40-an cedera parah di bahagian kepala, seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda City cedera ringan manakala penumpangnya seorang wanita meninggal dunia. Pemandu sebuah lagi kereta jenis BMW selamat,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, PLUS di laman sosialnya setakat 8.40 pagi tadi memaklumkan kerja-kerja mengalihkan kenderaan terlibat sedang dijalankan dengan lorong kanan dan tengah di kedua-dua arah masih terhalang.
“Trafik arah selatan sesak sepanjang empat kilometer manakala arah ke utara sesak lapan kilometer,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA