JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Maut Kereta Dipercayai Terbabas Ke Dalam Sungai

17/02/2026 08:21 PM

SEREMBAN, 17 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas ke dalam sungai berhampiran Sekolah Dato' Abdul Razak, Sungai Gadut, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata mangsa berusia 25 tahun itu sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarga selepas tidak pulang ke rumah sejak awal pagi tadi.

“Keluarga mangsa kemudian bertindak menjejaki lokasi terakhir mangsa melalui Sistem Pengesanan Global (GPS) pada kereta jenis Toyota Yaris yang dipandu lelaki itu.

“Hasil semakan mendapati lokasi terakhir kereta tersebut berada di kawasan berhampiran sungai berkenaan sebelum operasi pencarian dijalankan oleh pasukan bomba,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan Zon 1 Seremban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan PPgB Mohd Fadhli Shamsudin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 5 petang tadi.

“Mayat mangsa ditemukan pada 6.15 petang, kami mengalami sedikit kesukaran memandangkan sungai agak dalam dan air deras berikutan hujan sejak awal pagi tadi,” katanya dan menambah operasi membabitkan 13 anggota itu tamat pada 6.40 petang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525047