SUKAN

ACLE: JDT Tewaskan Vissel Kobe 1-0, Sahkan Kedudukan Ke Pusingan 16 Terbaik

17/02/2026 10:52 PM

ISKANDAR PUTERI, 17 Feb (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Vissel Kobe 1-0 dalam perlawanan terakhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Pada separuh masa pertama, Harimau Selatan terlebih dahulu menguji kubu pelawat seawal minit kedua menerusi rembatan jarak jauh Bergson Da Silva dari luar kotak penalti, namun percubaannya ditepis penjaga gol, Shuichi Gonda.

JDT terus mengasak dan berpeluang membuka jaringan pada minit ke-13, namun percubaan Antonio Cristian Glauder selepas menerima hantaran Bergson sekali lagi dinafikan Gonda.

Pasukan dari Jepun itu mencipta peluang menerusi Jean Patric Reis pada minit ke-20, namun rembatan rendah dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Andoni Zubiaurre Dorronsoro.

Seminit kemudian, Mitsuki Hidaka hampir meletakkan Vissel Kobe di hadapan, namun percubaan jarak dekatnya tersasar.

JDT hampir memecah kebuntuan pada minit ke-39 apabila sepakan rendah Nene dalam kotak penalti berjaya menewaskan Gonda dan memasuki gawang, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau dalam kedudukan ofsaid.

Bersambung babak kedua, JDT sekali lagi berputih mata apabila percubaan Marcos Guilherme pada minit ke-55 yang berjaya menghasilkan gol turut dibatalkan kerana ofsaid.

Vissel Kobe, pasukan kendalian Michael Skibbe itu hampir mengejutkan tuan rumah pada minit ke-71 menerusi percubaan Kento Hamasaki, namun rembatan berkenaan sekadar terkena tiang gol.

JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan dua minit kemudian apabila sepakan rendah Guilherme pada minit ke-73 menewaskan Gonda yang cuba menghalang, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.

Keputusan kekal memihak JDT sehingga tiupan wisel penamat, dan kemenangan itu menjadikan pasukan kendalian Xisco Munoz melonjak ke kedudukan keenam dengan 11 mata, iaitu tiga perlawanan menang, dua seri dan tiga tewas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525074