KOTA KINABALU, 17 Feb (Bernama) -- Bagi Datuk Susan Wong Siew Guen, usaha memelihara warisan budaya dan membangunkan komuniti ialah dua misi yang tidak dapat dipisahkan, sama ada melalui perjuangan memartabatkan tarian singa tradisional mahupun membangunkan bandar baharu di Sabah.
Pemaju hartanah berusia 69 tahun itu percaya tradisi Tahun Baharu Cina membawa nilai yang jauh melangkaui sambutan perayaan, selain menjadi penghubung penting antara generasi.
"Bagi saya, Tahun Baharu Cina adalah tentang memelihara tradisi kita dan mewariskannya kepada generasi seterusnya. Sejak kecil, anak-anak saya diajar nilai kekeluargaan seperti pemberian angpau dan berkumpul untuk menikmati makan malam pada ambang Tahun Baharu Cina.
"Tradisi ini dipupuk dalam diri oleh ayah saya, yang sentiasa mengingatkan kami supaya tidak melupakan akar budaya. Hari ini, saya meneruskan amalan yang sama dengan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai aktiviti kebudayaan seperti tarian singa dan perlumbaan perahu naga," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada upacara menitik mata singa di sini, baru-baru ini.
Wong turut mengambil langkah aktif bagi memastikan seni persembahan tradisional terus berkembang, termasuk menyumbangkan 60 kostum tarian singa tahun ini kepada persatuan tarian singa dan naga di seluruh Sabah.
Selain itu, beliau menganjurkan antara Festival Tarian Singa dan Naga terbesar di negeri ini dan pertandingan perahu naga untuk menggalakkan penyertaan golongan belia, di samping memperkukuh hubungan komuniti.
Wong berkata sokongan berterusan amat penting untuk memastikan tradisi budaya itu kekal hidup.
"Jika anda tidak mempromosikannya, semakin lama semakin kurang orang menyertainya. Jika anda tidak menyokongnya, sebahagiannya tidak akan dapat bertahan dan akhirnya (budaya itu) hilang begitu sahaja," katanya.
Walaupun terkenal dengan usaha memelihara warisan budaya, Wong turut dihormati atas sumbangannya selama empat dekad dalam sektor pembangunan hartanah di Sabah.
Pengarah Urusan WSG Group itu menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2025 oleh Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) baru-baru ini, bagi mengiktiraf sumbangan beliau selama 43 tahun dalam industri berkenaan.
Beliau turut menerima The ASEAN Distinguished Entrepreneur Lifetime Achievement Award 2025 oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan dan impaknya dalam komuniti perniagaan serantau.
Wong menghabiskan masa 25 tahun bekerja bersama-sama mendiang bapanya Datuk Seri Dr Wong Kwok, yang juga Pengasas Wong Kwok Group, sebelum menubuhkan WSG Group pada 2007 dengan suaminya Datuk Wong Ten An dan anak mereka.
Di bawah kepimpinannya, WSG Group telah membangunkan lebih 1,000 unit kediaman dan lebih 200 lot perniagaan melalui projek termasuk Taman Sungai Wang, Rose Garden, Palm Condominiums, Kinarut Palm City dan Kinarut Palm Avenue, sekali gus mengubah Kinarut, kira-kira 20 kilometer dari sini, menjadi sebuah bandar yang sedang berkembang.
"Kerjaya ini bukan sekadar satu tugas, tetapi hobi. Saya suka membuat projek pembangunan untuk masyarakat. Impian saya ialah mahu membina rumah yang mampu dimiliki semua orang dan mewujudkan persekitaran yang selesa untuk didiami," katanya.
Melangkah ke hadapan, Wong merancang untuk membangunkan sebuah bandar baharu di Tuaran yang memiliki taman tema air, meneruskan misi sepanjang hayatnya dalam mewujudkan ruang untuk komuniti berkembang, memelihara tradisi dan terus maju.
-- BERNAMA