SUKAN

Kempen Kelayakan Piala Dunia Medan Timba Pengalaman Speedy Tigress

17/02/2026 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pasukan hoki wanita negara tidak menetapkan sebarang sasaran khusus bagi kempen kelayakan Piala Dunia di Santiago, Chile dari 1 hingga 8 Mac ini.

Pengendali skuad Women Tigress Nasihin Nubli menegaskan misinya pada kempen kelayakan Piala Dunia itu lebih tertumpu kepada usaha memperkukuh pasukan serta memberi pendedahan kompetitif kepada pemain muda, khususnya menerusi aksi menentang pasukan handalan dunia.

“Fokus kami pasukan wanita adalah prestasi dan proses. Ini memandangkan kita membariskan enam pemain remaja dari skuad remaja Piala Dunia 2025.

“Jadi kita akan gunakan sebaiknya (Kelayakan Piala Dunia) sebab ini adalah pendedahan peringkat tinggi untuk pasukan wanita gerak sebagai sebuah pasukan dan terus ke hadapan,” katanya ketika ditemui semalam. 

Pada kempen kelayakan Piala Dunia Hoki Wanita, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Ireland, Kanada dan Jepun.

Skuad Wanita akan membuka tirai menentang Kanada pada 4 Mac diikuti Ireland keesokannya sebelum melengkapkan aksi peringkat Kumpulan B menentang Jepun pada 7 Mac.

Mengikut format perlawanan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2524897