Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Bersempena ketibaan Ramadan, penyanyi Black Hanifah tampil dengan single terbaharu berjudul Hadirmu Ramadan, sebuah karya reflektif yang mengetengahkan mesej keinsafan dan pengharapan selari dengan penghayatan bulan suci itu.
Bertindak sebagai komposer dan penulis lirik bersama, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah menyifatkan lagu berkenaan sebagai peringatan halus agar Ramadan dimanfaatkan sebagai ruang menyucikan jiwa dan bermuhasabah diri, bukan sekadar diraikan sebagai bulan perayaan.
Menurutnya, inspirasi utama lagu itu tercetus daripada pengalaman peribadi menghayati suasana Ramadan terutama kesyahduan malamnya, doa yang dipanjatkan serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan mulia itu menjelma.
“Lagu ini juga terinspirasi daripada pengalaman melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia, walaupun hanya seketika, namun kesannya tetap mendalam,” katanya.
Mengakui bukan mudah membawakan lagu bertemakan kerohanian, penyanyi berusia 39 tahun itu berkata antara cabaran utama adalah untuk memastikan penyampaian kekal jujur dan tidak klise, selain mesejnya difahami pendengar.
“Paling penting memastikan lagu ini kekal ikhlas dan tidak berlebihan. Saya mahu mesejnya dekat dengan pendengar tanpa terasa terlalu berat atau terlalu ringan.
pic-2
“Setiap bait lirik disusun seperti dialog seorang insan dengan Tuhannya, lahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran,” katanya.
Bergabung dengan penyanyi Hazama sebagai penulis lirik bersama, Black berkata kerjasama itu berlaku secara tidak dirancang selepas beliau memperdengarkan demo lagu berkenaan.
Bapa kepada Khaleef Dayyan dan Rindu Dayyana itu berkata perbincangan santai mereka mengenai lirik lagu berkenaan membuka ruang penambahbaikan agar ia lebih selari dengan emosi dan melodi.
“Gabungan idea itu menjadikan Hadirmu Ramadan lebih seimbang dan berjiwa,” katanya sambil memaklumkan proses menyiapkan lagu tersebut mengambil masa beberapa minggu.
Beliau berharap lagu berkenaan dapat menjadi teman pendengar dalam menghayati Ramadan serta mengingatkan tentang nilai kesederhanaan dan keikhlasan sepanjang bulan berkenaan.
Hadirmu Ramadan boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik digital pada 24 Feb ini, manakala video muzik rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos mulai hari ini.
-- BERNAMA