Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Dalam usaha memperkasa industri kreatif negara secara lebih menyeluruh, Persatuan Penggiat Filem Malaysia (Profima) menyediakan 50 tenaga pengajar bertauliah bagi memperkukuh aspek latihan serta pembangunan bakat dalam sektor perfileman.
Kesemua mereka ditauliahkan menerusi kursus Train The Trainer yang dilaksanakan dengan kerjasama HRD Corp, sekali gus mewujudkan kumpulan jurulatih profesional yang mampu melatih tenaga kerja industri secara berstruktur, berstandard dan berterusan.
Presiden Profima Khalil Salleh berkata usaha berkenaan merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan pengalaman dan kepakaran kru dapat dipindahkan secara tersusun kepada generasi baharu.
“Selama ini industri kita kaya dengan bakat dan pengalaman, tetapi tidak ada laluan formal untuk mengiktiraf kru sebagai tenaga pengajar. Melalui inisiatif ini, mereka bukan sahaja mendapat tauliah rasmi, malah boleh menyumbang semula kepada industri dengan pendekatan yang lebih sistematik,” katanya kepada Bernama.
pic-2
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Ramadan PROFIMA dan Sambutan Hari Kru Filem Malaysia 2026 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), semalam, yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Abdul Halim Hamzah.
Menurutnya, peserta yang ditauliahkan mempunyai kepakaran dalam pelbagai cabang termasuk solekan dan dandanan, kamera, penyuntingan, audio, penulisan skrip serta penjenamaan, bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
"Pentauliahan ini juga membuka peluang penjanaan pendapatan baharu khususnya kepada kru berpengalaman dan veteran, selain membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan kandungan kreatif yang kian meningkat," katanya, menambah penyampaian sijil kepada 50 tenaga pengajar berkenaan menjadi simbol pengiktirafan terhadap peranan kru belakang tabir dalam memperkasa industri perfileman dan seni tanah air.
Sementara itu, Khalil berkata pihaknya juga telah menjalinkan kerjasama strategik bersama-sama Persatuan PENGASIH Malaysia (PENGASIH) bagi memperkukuh aspek kesihatan pemulihan berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja serta ekosistem industri filem dan kreatif negara.
pic-3
Beliau berkata kerjasama itu merupakan langkah proaktif sebagai wakil sektor pekerja profesional industri perfileman untuk menangani isu kesihatan mental, tekanan kerja, gaya hidup berisiko dan cabaran sosial yang semakin ketara dalam kalangan warga industri.
"Corak kerja tidak menentu, tempoh produksi panjang, tekanan masa serta tuntutan fizikal dan emosi tinggi boleh mendedahkan sebahagian pekerja kepada risiko penyalahgunaan bahan terlarang, sekali gus menuntut penyelesaian yang berstruktur, berperikemanusiaan dan bebas stigma.
"Melalui kerjasama ini kita akan melaksanakan program kesedaran dan pendidikan pencegahan dadah, menyediakan saluran rujukan rawatan dan pemulihan yang selamat serta menawarkan sokongan kaunseling selain membangunkan modul kesihatan pemulihan yang bersesuaian dengan realiti kerja industri kreatif," katanya.
Katanya, PROFIMA percaya tanpa intervensi menyeluruh, isu berkenaan boleh menjejaskan keselamatan set penggambaran, kualiti kerja dan imej industri, justeru komitmen bersama dengan PENGASIH mencerminkan usaha membina sektor filem dan kreatif Malaysia yang lebih prihatin, inklusif dan berdaya tahan.
-- BERNAMA