DUNIA

Modi Bangkitkan Kebimbangan Gangguan Tenaga Di Teluk Kepada Pezeshkian

13/03/2026 04:26 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 13 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi pada Khamis membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan tenaga di Asia Barat dalam panggilan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

Modi menzahirkan kerisauan tentang situasi keselamatan di rantau itu dan mengulangi pendirian konsisten India bahawa semua isu mesti diselesaikan menerusi dialog dan diplomasi, menurut kenyataan pejabatnya.

“Perdana Menteri menekankan keutamaan India berhubung keselamatan dan kesejahteraan warga India di rantau itu, termasuk di Iran, serta kepentingan transit tenaga dan barangan tanpa halangan," tambahnya.

Presiden Iran memaklumkan kepada Modi "mengenai situasi semasa di Iran dan berkongsi perspektifnya mengenai perkembangan terkini di rantau itu," menurut kenyataan itu, tanpa memberikan butiran khusus.

Angkatan tentera Iran telah bertindak balas terhadap perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara berpopulasi 90 juta orang itu dengan menyerang sasaran di Israel dan pangkalan AS di sekitar Asia Barat.

Kira-kira 10 juta orang India tinggal dan bekerja di rantau Teluk.

Negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar mempunyai kepentingan besar bagi keperluan kewangan dan tenaga India.

India dan enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk, termasuk Bahrain, Oman dan Kuwait, pada Februari bersetuju untuk memulakan rundingan secara rasmi bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA).

GCC ialah rakan dagangan terbesar India sebagai satu blok, dengan nilai perdagangan pada USD178.56 bilion pada tahun fiskal 2024 hingga 2025, mewakili 15.42 peratus daripada perdagangan global India, menurut data rasmi India.

Perdagangan India-Iran adalah kecil jika dibandingkan dengan angka tersebut iaitu berjumlah USD2.3 bilion pada 2022 hingga 2023.

Situasi konflik mengganggu perdagangan global dan aliran tenaga melalui Selat Hormuz, yang tidak ditutup oleh Iran tetapi disekat untuk kapal yang dikaitkan dengan AS dan rejim Zionis Israel.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534028