MELAKA, 10 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan mempergiat rondaan menerusi Op Khas Pagar Laut bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di perairan Selat Melaka.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Melaka dan Negeri Sembilan Komander Maritim Norrimi Hassan berkata rondaan ini dijalankan di perairan Kuala Kesang hingga Kuala Sepang, khususnya sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Beliau berkata tumpuan operasi diberikan di beberapa kawasan titik panas yang dikenal pasti berisiko tinggi bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui laluan laut.
“Operasi yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara ini merupakan langkah proaktif bagi meningkatkan tahap penguatkuasaan serta mengekang jenayah rentas sempadan.
“Operasi turut dipergiatkan memandangkan tempoh Ramadan dan Syawal sering dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya kepada pemberita di sini.
Norrimi berkata operasi yang bermula pada 27 Feb hingga 10 April itu dibahagikan kepada empat fasa utama iaitu Fasa Persediaan, Fasa Penguatkuasaan Pra-Perayaan, Fasa Penguatkuasaan Semasa Perayaan serta Fasa Pemantauan dan Post Exercise Debrief (PXD).
Pelaksanaan operasi itu amat signifikan dalam memastikan tahap kawalan keselamatan perairan negara sentiasa berada pada tahap optimum melalui rondaan berterusan, pemantauan strategik serta penguatkuasaan yang dipertingkatkan, katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti maritim, pengusaha perkapalan serta orang awam agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan Selat Melaka.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan perairan negara kekal selamat, terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman jenayah maritim,” katanya.
-- BERNAMA