JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Hilang Ketika Menjala Ditemukan Lemas

13/03/2026 04:41 PM

JULAU, 13 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan di Sungai Kanowit di Nanga Sebuloh di sini pada Rabu lepas, ditemukan meninggal dunia pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Geoffrey Senah, 39, dari Rumah Gundi, Nanga Sebuloh, ditemukan penduduk rumah panjang kira-kira 7.30 pagi pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai menjala ikan.

“Mayat mangsa kemudian dikeluarkan dari sungai oleh bomba sebelum diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan kira-kira 9.20 pagi,” menurut JBPM Sarawak.

Jabatan itu memaklumkan pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.50 tengah hari semalam dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 72 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.

“Penduduk rumah panjang menyedari mangsa hilang apabila dia tidak pulang ke rumah dan usaha mencari hanya menemukan perahu serta barang milik mangsa hanyut di sungai,” menurut JBPM Sarawak. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534024