MELAKA, 13 Mac (Bernama) -- Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dan keluar 26 pendatang asing warga Indonesia dalam dua operasi berasingan di sekitar perairan Pulau Upeh di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua warga asing itu terdiri daripada 19 lelaki dan tujuh wanita berusia 19 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi menerusi Op Taring Landai dan Op Taring Gelora sempena Op Khas Aidilfitri 2026.
"Dalam operasi pertama Op Taring Landai kira-kira 2.30 pagi di kawasan pesisiran Pantai Teluk Pulau Upeh, polis menahan 18 warga Indonesia termasuk dua wanita yang dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram melalui laluan laut.
"Operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka berhubung aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata hasil soal siasat awal mendapati tiga lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai ‘tekong darat’, yang menguruskan penghantaran migran sebelum diserahkan kepada pihak ketiga untuk dibawa keluar dari Malaysia ke Dumai, Indonesia.
Dzulkhairi berkata warga asing itu telah dibawa ke kawasan pesisir pantai sebelum menunggu ketibaan ‘tekong laut’ untuk membawa mereka keluar dari negara ini dan setiap mereka dipercayai membayar antara RM1,500 hingga RM1,700 kepada ejen menguruskan perjalanan tersebut.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut merampas 26 telefon bimbit pelbagai jenis, wang tunai RM14,465 serta wang tunai 36,976,300 rupiah Indonesia yang dianggarkan bernilai RM8,587, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM48,151.85.
Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan Op Taring Gelora kira-kira 3 pagi, Dzulkhairi berkata polis berjaya menggagalkan cubaan masuk ke negara ini selepas anggota Bot Ronda RH22 menahan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan kira-kira satu batu nautika (NM) di utara Pulau Upeh yang cuba merapat ke pesisir pantai.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan migran warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berumur antara 27 hingga 45 tahun.
"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah, manakala dua lelaki dipercayai bertindak sebagai tekong bot dan kesemua mereka dipercayai berurusan dengan tekong melalui kenalan masing-masing dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000," katanya.
Beliau berkata dalam operasi itu polis turut merampas sebuah bot gentian kaca berukuran 10.05 meter (33 kaki), dua enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda dan 60 kuasa kuda, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama serta tujuh tong minyak jenis jerry can, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM78,850.
"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana menjalankan penyeludupan migran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk atau keluar Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA