PASARAN

Emas Susut Sementara Selepas Pelabur Terangsang Dengan Kecairan Dolar US -- OCBC Research

13/03/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Harga emas mungkin susut sementara waktu memandangkan para pelabur sedang menjual aset cair untuk meningkatkan pembiayaan dolar US, trend sama yang dilihat semasa krisis kewangan global dan fasa awal kejutan COVID-19, menurut seorang penganalisis.

Pakar strategi FX Research OCBC Group, Christopher Wong menjelaskan walaupun emas dianggap sebagai aset selamat, sejarah telah menunjukkan bahawa ada kalanya, ia tidak mengukuh dalam tempoh tekanan pasaran yang teruk.

"Semasa kejutan kewangan atau geopolitik yang memburuk, pelabur mungkin menjual emas untuk meningkatkan mudah tunai, terutamanya apabila panggilan margin dan pelunasan portfolio memerlukan akses segera kepada tunai," kata Wong.

Trend ini berlaku dalam beberapa episod krisis utama termasuk krisis kewangan global 2008, apabila emas dijual secara besar-besaran susulan permintaan tunai dan panggilan margin memaksa pencairan perdagangan yang menguntungkan, merentas pelbagai kelas aset.

“Pada fasa awal pandemik COVID-19 (2020), harga emas menurun apabila pelabur mencari mudah tunai dan portfolio mengurangi hutang,” katanya.

Wong berkata peningkatan risiko geopolitik, ketidaktentuan dasar dan kebimbangan mengenai pertumbuhan global secara sejarahnya menyokong permintaan emas sebagai aset bertahan.

Pada masa yang sama, kepelbagaian bank pusat yang berterusan ke atas emas dan asas penyertaan pelabur yang lebih luas dijangka memberikan sokongan struktur untuk logam itu.

 

Tetapi di sisi sebaliknya. Naratif ini boleh mencabar untuk emas dalam masa terdekat. Kenaikan mendadak harga tenaga berisiko mencetuskan semula tekanan inflasi. Jika inflasi terbukti berterusan, pelonggaran monetari boleh ditangguhkan atau diterbalikkan.

 

"Dalam senario sebegitu, hasil nominal dan kadar faedah sebenar berkemungkinan kekal tinggi, menekan persekitaran kewangan global dan seterusnya, menetapkan persekitaran yang tidak baik untuk kenaikan harga emas," katanya.

Wong berkata persekitaran semasa telah mewujudkan ketegangan bagi emas.

"Walaupun permintaan untuk aset selamat kekal utuh, hasil sebenar yang meningkat dan permintaan yang lebih mantap bagi kecairan dolar boleh mengehadkan kenaikan emas dalam tempoh terdekat. Ini juga menjelaskan mengapa emas sebahagian besarnya didagangkan mengikut jajaran kecil berikutan penurunan harga pada permulaan perang AS-Israel-Iran," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534127