AM

Polis P.Pinang Lulus 392 Permit Mercun Dan Bunga Api

14/03/2026 12:25 AM

GEORGE TOWN, 13 Mac (Bernama) -- Polis Pulau Pinang telah meluluskan 378 permit penjualan bunga api daripada 392 permohonan bersempena dengan sambutan Aidilfitri, setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata permit berkenaan diberikan kepada peniaga yang memenuhi syarat serta mendapat kelulusan pihak polis bagi menjalankan penjualan mercun dan bunga api sempena musim perayaan.

"Sehingga kini terdapat tiga permohonan permit bunga api dan mercun yang masih diteliti serta dalam proses untuk kelulusan oleh pihak polis, manakala 11 permohonan ditolak. Setakat ini, tiada peniaga yang dikesan berniaga tanpa permit.

"Pihak polis dari semasa ke semasa menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan ke atas penjual bunga api dan mercun bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini  

Beliau berkata operasi pemantauan itu akan diteruskan sehingga tamat perayaan Aidilfitri nanti.

Dalam perkembangan lain, Azizie berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan khianat terhadap kenderaan dipandu penceramah bebas Zamri Vinoth pada 7 Mac lepas.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 427 kanun sama berkaitan perbuatan khianat.

Terdahulu, Zamri memuat naik rakaman video berdurasi 19 saat di Facebook yang memaparkan kenderaannya dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki sebelum beberapa lelaki lain turut datang menghampiri dan kenderaan itu kemudian dilihat melanggar motosikal berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534153