PASIR MAS, 16 Mac (Bernama) -- Keunikan bunga chica yang hanya gugur sekali setahun di beberapa kampung di daerah ini dimanfaatkan penduduk setempat untuk menghasilkan kuih tradisional seperti lepat dan onde-onde.
Bunga chica atau nama saintifiknya Stereospermum fimbriatum DC sebelum ini lebih mudah ditemui di Kedah, namun kewujudannya di beberapa kampung di Pasir Mas menjadikan ia istimewa apabila bunga hutan itu diinovasikan sebagai bahan kulinari.
Pembuat kuih tradisional Meriam Muhd @ Mat, 78, berkata bunga yang dikutip perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijemur selama dua hingga tiga hari sehingga ia benar-benar kering dan garing.
Beliau berkata bunga kering itu kemudian dikisar atau ditumbuk menjadi serbuk sebelum diayak bagi memastikan tiada hampas yang tertinggal.
“Serbuk bunga ini dicampur dengan santan sebelum diadun bersama tepung, parutan kelapa muda dan ‘nisan’ (gula melaka) bagi memberikan rasa lemak manis. Ia juga boleh diubah suai dengan memasukkan inti kelapa parut atau kacang mengikut selera,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Meriam berkata adunan itu seterusnya dibungkus menggunakan daun pisang sebelum dikukus selama kira-kira 30 minit bagi menghasilkan lepat bunga chica beraroma wangi.
Beliau berkata serbuk bunga yang diproses dengan baik boleh disimpan sehingga setahun, membolehkan kuih tradisional itu terus dinikmati walaupun fenomena guguran bunga chica hanya berlaku dalam tempoh yang singkat.
Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung, Bunut Susu, Norihawati Che Seman, 46, berkata fenomena luruhnya bunga chica suatu ketika dahulu sangat meriah kerana ia menjadi aktiviti tahunan yang dinanti-nantikan oleh penduduk kampung.
Beliau berkata bunga berwarna putih keunguan itu hanya luruh dalam tempoh kira-kira sebulan setiap tahun, lazimnya antara Februari hingga Mac, ketika cuaca panas.
“Fenomena ini diibaratkan seperti musim bunga sakura di Jepun. Orang kampung akan segera keluar mengutip bunga yang bertaburan di bawah pokok sebaik sahaja ia luruh,” katanya.
Norihawati ketika mengimbas kenangan semasa kecil berkata penduduk termasuk kanak-kanak akan datang seawal pagi untuk mengutip bunga di bawah pokok setinggi lebih 30 meter itu, dan suasananya diibaratkan seperti "pesta kampung" kecil.
Beliau bagaimanapun berasa sedikit ralat kerana generasi muda kini kurang mengenali bunga chica ekoran perubahan zaman dan kesibukan hidup masing-masing.
Turut berkongsi sentimen sama, Fauziah Che Daud, 71, berkata aktiviti mengutip bunga sentiasa dinantikan dan biasanya dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi selepas bunga itu gugur ditiup angin.
Dalam pada itu, pemilik tanah tempat pokok itu tumbuh, Zakiah Yahya, 57, berkata pokok berkenaan adalah warisan keluarga sejak zaman neneknya Allahyarham Esah Daud, yang berusia lebih 100 tahun lepas.
Beliau berkata pada suatu ketika dahulu, kawasan itu menjadi tumpuan penduduk dari kampung berhampiran seperti Kampung Jejulok, Aur Cina, Chenok dan Anak Keranji untuk mengutip bunga berkenaan.
“Dulu orang ramai datang bawa plastik besar. Ada yang datang seawal Subuh dengan membawa pelita atau ‘ceduk’, iaitu pelindung pelita daripada tin biskut kosong semata-mata untuk mengutip bunga ini,” katanya.
Zakiah berkata walaupun bunga mentah jarang dijual, terdapat penduduk yang menjual kuih yang siap dihasilkan daripada bunga chica dengan harga sekitar RM1 bagi dua biji bersaiz kecil.
-- BERNAMA