Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) – Pengeluar peralatan perumahan dan bahan binaan, Panasonic Housing Solutions Co Ltd sedang meneroka peluang pelaburan untuk produk panel berasaskan biojisim sawit iaitu papan gentian berketumpatan sederhana (MDF).
Ia dihasilkan di bawah program PALM LOOP yang menukar batang kelapa sawit dan sisa minyak sawit lain kepada MDF yang sesuai untuk perabot dan bahan binaan.
Pengurus Pusat Penyelesaian Perumahan Perolehan Malaysia syarikat itu, Mohd Erman Syazwan Che Fauzi berkata syarikat itu telah mengkomersialkan papan MDF yang mengandungi 10 peratus biojisim sawit dengan baki 90 peratus diperbuat daripada kayu getah.
Sebagai respons kepada permintaan daripada pihak berkepentingan dan pelabur, Panasonic meningkatkan peratusan biojisim sawit.
“Melalui penyelidikan dan pembangunan yang berterusan, kami telah menghasilkan sampel perintis yang mengandungi 30 peratus hingga 50 peratus biojisim dan papan eksperimen diperbuat daripada 100 peratus biojisim sawit,” katanya ketika ditemui Bernama di luar Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2026 baru-baru ini, di sini.
Mohd Erman berkata pelaburan baharu boleh mengembangkan projek dan mengurangkan kos pengeluaran melalui pembuatan berskala lebih besar dan penyelidikan serta pembangunan seterusnya.
Bagi Kumpulan Panasonic, beliau berkata peningkatan pengeluaran bermakna mengurangkan kos dan menambah kandungan biojisim dalam produk papan keluarannya secara beransur-ansur.
“Dalam tempoh terdekat, kami mahu melihat beberapa bentuk pelaburan dalam industri ini, seterusnya berusaha ke arah sasaran 100 peratus MDF berasaskan biojisim.
“Kami juga sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memperkukuh sistem yang menjejaki sumber biojisim, membolehkan pengeluar mengesahkan bahawa bahan digunakan dalam pengeluaran diperoleh secara mampan,” katanya.
Panasonic kini sedang bekerjasama dengan pengeluar perabot tempatan untuk membekalkan papan MDF berasaskan biojisim dan mengembangkan penggunaan bahan lestari dalam pengeluaran perabot.
“Dengan meningkatkan kandungan biojisim dan menarik rakan kongsi industri baharu, kami berharap program ini dapat membantu mengembangkan penggunaan bahan lestari dalam pembuatan perabot dan mewujudkan nilai baharu daripada sisa industri minyak sawit.
“Dalam jangka masa panjang, kami sedang mempertimbangkan mengeksport papan berasaskan biojisim itu sendiri, bagaimanapun tumpuan kami kekal untuk menyokong sektor perabot Malaysia,” kata Mohd Erman.
-- BERNAMA