AM

Shopee Kukuh Komitmen Keselamatan Dalam Talian, Pendidikan Pengguna

18/03/2026 08:31 AM

KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Shopee Malaysia (Shopee) memperkukuh komitmen keselamatan dalam talian dan pendidikan pengguna, sekali gus menekankan kepentingan membantu masyarakat mengenal pasti taktik penipuan.

Shopee menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa langkah proaktif itu termasuklah mendidik orang ramai cara melindungi maklumat peribadi serta hanya bertransaksi melalui saluran digital yang dipercayai.

"Seiring dengan semakin ramai rakyat Malaysia yang menyertai ekonomi digital, usaha meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian membantu pengguna membeli-belah dan bertransaksi dengan lebih yakin.

"Mewujudkan persekitaran digital yang selamat memerlukan kerjasama antara kerajaan, platform dan pengguna," menurut kenyataan itu.

Melalui usaha pendidikan pengguna yang berterusan, Shopee berhasrat melengkapkan masyarakat dengan pengetahuan praktikal untuk menangkis taktik penipuan yang biasa berlaku pada masa ini.

Hal ini termasuklah menasihati pengguna agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang interaksi yang mencurigakan, serta mengamalkan tabiat membeli-belah dalam talian yang jauh lebih selamat.

Terbaharu, inisiatif berkenaan diketengahkan secara meluas oleh Shopee semasa sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Ahad lepas.

Pada acara yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shopee berinteraksi secara terus dengan orang ramai tentang amalan membeli-belah yang selamat melalui pameran serta sesi perkongsian awam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali turut melawat pameran Shopee, dengan pasukan Shopee berkongsi usaha pendidikan pengguna mereka dalam membantu rakyat Malaysia mengenal pasti taktik penipuan dengan lebih baik, serta mengamalkan tabiat membeli-belah dalam talian lebih selamat.

Kenyataan itu menjelaskan Shopee turut berkongsi panduan praktikal berhubung cara pengguna boleh melindungi diri mereka, antaranya kemahiran mengenal pasti pautan laman web yang mencurigakan dan cubaan penyamaran.

Pengguna juga dilarang menuruti permintaan pembayaran di luar platform rasmi, serta diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat sensitif seperti kod pengesahan sekali sahaja (OTP) atau butiran perbankan.

"Sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan yang mengeksploitasi unsur desakan, penyamaran dan permintaan pembayaran di luar platform," nasihat Shopee kepada pengguna.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia Nik Emir Din dalam kenyataan sama berkata pendidikan pengguna kekal sebagai elemen paling penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap ekonomi digital.

"Di Shopee, kami komited untuk menyokong inisiatif yang membantu orang ramai mengenal pasti taktik penipuan, melindungi maklumat peribadi mereka dan bertransaksi dengan lebih selamat melalui saluran yang dipercayai.

"Kami mengalu-alukan peluang untuk terus memperkukuh mesej ini melalui platform seperti Hari Pengguna Kebangsaan," katanya.

Selain itu, pameran tersebut turut dimanfaatkan bagi membantu pengguna memahami fungsi pautan afiliasi rasmi dalam ekosistem Shopee.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535510