RENCANA

Senggugut Teruk Mungkin Petanda Endometriosis - Pakar

19/03/2026 01:06 PM
Daripada Soon Li Wei

Kebanyakan wanita menganggap senggugut atau sakit ketika haid sebagai perkara biasa, dengan sebahagiannya tidak mengendahkan keadaan itu dan cuma mengambil ubat penahan sakit.   

Namun kata pakar, keadaan itu tidak harus diabaikan kerana gejala mungkin disebabkan oleh endometriosis.

Salimah Abdullah, 34, antara yang mengalami senggugut teruk selain haid yang banyak, bermula ketika dia berusia 24 tahun; keadaan yang memaksanya mengambil cuti sakit hampir saban bulan kerana kesakitan pada bahagian abdomen itu membuatkan dia tidak berupaya untuk berdiri tegak ataupun bergerak.

“Setiap bulan, apabila sakit yang dialami terlalu teruk, saya akan ke klinik dan doktor memberikan saya ubat penahan sakit. Saya juga mengambil pelbagai jenis ubat tradisional bagi menangani masalah senggugut ini selain berjumpa dengan ramai doktor. Namun, keadaan saya tetap tidak berubah dan berterusan selama tiga tahun,” kongsinya dengan Bernama.

Bagaimanapun peluang menghadiri ceramah kesihatan tentang endometriosis di sebuah hospital swasta empat tahun lalu dan disusuli pemeriksaan menyeluruh mengesahkan yang dia mengalami endometriosis tahap empat.


Antara tanda-tanda endometriosis adalah senggugut teruk serta haid yang banyak sehingga menjejaskan aktiviti harian (Sumber: Freepik)

Ketika itu kata Salimah, dia baru saja berkahwin selama dua bulan, dan walaupun belum merancang untuk mempunyai anak, dia menuruti nasihat pakar ginekologi agar menjalani pembedahan bagi mengurangkan rasa sakit selain meningkatkan peluang untuk dia hamil.

“Sekalipun saya didiagnosis dengan endometriosis tahap empat, iaitu tahap paling teruk, saya bersyukur kerana dapat melahirkan seorang anak tiga tahun selepas menjalani prosedur yang disarankan doktor,” katanya.

 

KURANG DIDIAGNOS 

Endometriosis ialah keadaan keradangan yang berlaku apabila endometrium, iaitu tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim, tumbuh pada tisu atau organ lain di luar rahim.

Satu daripada 10 wanita dalam usia reproduktif terjejas oleh keadaan ini, dengan simptom lazim termasuk sakit pelvis kronik, sakit haid, sakit semasa atau selepas hubungan seksual serta ketidaksuburan.

Indikator Kesihatan Kementerian Kesihatan 2025 merekodkan sebanyak 1,937 kes discaj hospital berkaitan endometriosis di seluruh negara, menunjukkan masalah itu terus memberi beban besar kepada kesihatan wanita.

Namun, Pakar Perunding Sakit Puan dan Pakar Bedah Lanjutan Invasif Minimum serta Robotik di Hospital Picaso Dr Tan Ee Ping memberi amaran bahawa angka itu berkemungkinan lebih rendah daripada keadaan sebenar berikutan kurangnya kesedaran selain normalisasi sakit haid dalam masyarakat.

Beliau berkata senggugut yang teruk tidak seharusnya dianggap normal, lebih-lebih lagi apabila keadaan itu mula mengganggu kehidupan harian.

“Walaupun kesannya besar, kesedaran tentang penyakit ini masih rendah, menyebabkan diagnosis lewat dan salah tanggapan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi Zoom, baru-baru ini.


Pakar Perunding Sakit Puan dan Pakar Bedah Lanjutan Invasif Minimum serta Robotik di Hospital Picaso, Dr Tan Ee Ping (Gambar Ihsan Hospital Picaso)

Jelasnya, individu yang kerap memerlukan ubat penahan sakit ketika haid, atau cuti sakit serta tidak mampu datang bekerja ataupun ke sekolah disebabkan kesakitan teruk, mungkin mengalami gejala melangkaui senggugut biasa.

“Apabila kesakitan tidak lagi tertumpu di bahagian bawah abdomen dan mula merebak ke kiri, kanan atau belakang, atau menyebabkan keletihan serta mengganggu aktiviti harian, keadaan ini tidak lagi dianggap normal, waima dalam kalangan remaja,” katanya.

Dr Tan berkata bagi kebanyakan individu, keadaan senggugut lazimnya bertambah baik selepas satu tempoh, khususnya pada penghujung usia remaja atau awal 20-an.

“Jika masih lagi sakit atau bertambah teruk serta memerlukan ubat penahan sakit berulang kali, selain ada gejala muntah-muntah, sakit gastrik, kebas kaki, cirit-birit, kerap kencing dan kembung perut yang teruk, maka ini tidak normal.

 “Ada juga kes individu tidak mengalami senggugut ketika muda tetapi mula berdepan masalah itu pada usia 20-an, 30-an malah 40-an, yang juga merupakan tanda amaran,” katanya.

Beliau menjelaskan endometriosis berpunca daripada aliran balik darah haid yang menyebabkan keradangan di pelbagai bahagian badan dan seterusnya menimbulkan kesakitan.

“Simptom seperti cirit-birit, muntah dan sakit gastrik berkait dengan keradangan pada usus dan perut, manakala kerap kencing atau sakit ketika kencing menunjukkan keradangan pada pundi kencing.

“Kehadiran pelbagai simptom keradangan semasa haid merupakan petunjuk penting bahawa keadaan itu mungkin berkaitan dengan endometriosis,” katanya.

Beliau turut menolak mitos bahawa kehamilan boleh menyembuhkan endometriosis. Katanya, walaupun peningkatan hormon progesteron semasa hamil boleh mengurangkan simptom, gejala biasanya akan kembali dalam lingkungan tiga hingga lima tahun selepas bersalin.

Keadaan itu juga boleh berlarutan hingga menopaus, dan wanita menopaus yang tidak menerima rawatan endometriosis berisiko menghidap kanser ovari, katanya.

 

KETIDAKSUBURAN, PEMBEDAHAN 

Dr Tan berkata ramai wanita mengalami sakit pelvis kronik, sakit semasa hubungan seksual, pendarahan haid yang banyak serta ketidaksuburan tanpa sebab jelas, tidak sedar  bahawa semua gejala itu merupakan amaran bagi keadaan yang lebih serius.

“Bagi kebanyakan wanita, kesuburan merupakan kebimbangan utama dengan hampir 50 peratus daripada mereka yang menghidap endometriosis mengalami masalah ketidaksuburan.

“Endometriosis boleh menyebabkan keradangan, sista ovari dan tisu parut, sekali gus menyukarkan proses kehamilan. Selalunya, wanita hanya sedar mereka menghidap endometriosis apabila sukar hamil, dan pada ketika itu keadaan mungkin telah menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya. 

Sementara itu, Pakar Endometriosis dan Pakar Bedah Lanjutan Invasif Minimum & Robotik di Hospital Picaso Dr Sharifah Halimah Jaafar berkata prosedur laparoskopi dan pembedahan robotik boleh dilakukan untuk membuang tisu endometriosis, tisu parut dan lekatan.

Dalam konteks ini katanya, pembedahan tradisional berisiko menjadi invasif dan mencabar, terutamanya apabila endometriosis melibatkan usus, pundi kencing atau tisu ovari yang sensitif.

“Pembedahan robotik telah mengubah bidang ini dengan menawarkan ketepatan yang tinggi, trauma minimum dan tempoh pemulihan lebih cepat.

“Dengan visualisasi 3D, kecekapan pergerakan yang dipertingkat serta teknologi EndoWrist, prosedur berbantukan robot ini membolehkan pakar bedah mengendalikan kawasan yang kompleks dengan ketepatan luar biasa, sekali gus mengurangkan komplikasi, memelihara kesuburan dan menurunkan kadar berulang.”


Pakar Endometriosis dan Pakar Bedah Lanjutan Invasif Minimum & Robotik di Hospital Picaso, Dr Sharifah Halimah Jaafar (Gambar Kredit: Hospital PIcaso)

Namun, Dr Sharifah Halimah menegaskan pembedahan semata-mata bukanlah penawar.

“Pelan rawatan yang menyeluruh amat penting untuk mencegah penyakit berulang serta mengekalkan kualiti hidup. Ini termasuk terapi hormon jangka panjang bagi mengekang aktiviti penyakit, perubahan gaya hidup seperti pemakanan dan pengurusan stres serta pemeriksaan susulan secara berkala,” katanya.

 

TUBUHKAN PUSAT ENDOMETRIOSIS  

Dr Tan berkata ramai wanita yang menghidap endometriosis mungkin memerlukan beberapa pembedahan sepanjang hayat mereka, terutamanya apabila keadaan itu didiagnosis pada peringkat lewat.

Merujuk dapatan kajian nasional di United Kingdom, beliau berkata kira-kira 62 peratus wanita dengan endometriosis memerlukan pembedahan berulang, manakala hanya 38 peratus menjalani satu prosedur sahaja.

“Dalam kalangan mereka yang memerlukan rawatan lanjut, sekitar separuh mungkin perlu menjalani antara tiga hingga lima pembedahan sepanjang hayat, khususnya jika penyakit itu tidak dirawat sepenuhnya semasa prosedur pertama,” katanya.

Dr Tan menjelaskan satu daripada cabaran utama ialah kerumitan penyakit tersebut serta keperluan kepakaran pembedahan khusus.

“Endometriosis ialah penyakit pelbagai organ,  boleh menjejaskan pundi kencing, usus malah diafragma. Namun, ramai pakar sakit puan hanya dilatih untuk melakukan pembedahan pada rahim dan ovari, yang mewujudkan jurang dalam rawatan,” katanya.


Endometriosis ialah keadaan keradangan yang berlaku apabila endometrium, iaitu tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim, tumbuh pada tisu atau organ lain di luar rahim (Sumber gambar: Freepik)

Beliau menambah pengurusan yang berkesan sering memerlukan pendekatan multidisiplin yang melibatkan pakar seperti pakar urologi, pakar bedah kolorektal dan pakar bedah kardiotorasik.

“Oleh sebab itulah pusat endometriosis bertauliah amat penting kerana ia dilengkapi kemudahan untuk menjalankan pembedahan menyeluruh bagi membuang penyakit di semua kawasan terjejas, bukan sekadar organ reproduktif,” katanya.

“Cabaran utama dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia ialah rawatan yang berpecah-pecah, di mana ramai wanita berjumpa beberapa doktor tanpa pelan rawatan yang diselaraskan, menyebabkan kelewatan diagnosis, salah diagnosis dan pembedahan berulang yang sebenarnya boleh dielakkan dengan pendekatan lebih tersusun,” katanya.

Dr Sharifah Halimah turut menyuarakan bahawa sebuah pusat kecemerlangan endometriosis khusus amat diperlukan di Malaysia bagi menyediakan penjagaan menyeluruh dan bersepadu kepada pesakit.

“Pusat seperti ini akan menawarkan akses kepada alat diagnostik canggih serta pilihan pembedahan terkini, termasuk pembedahan robotik dan ultrabunyi berfokus intensiti tinggi (HIFU).

“Paling penting, pusat ini akan menumpukan pada perancangan rawatan khusus mengikut pesakit dan menangani kedua-dua aspek kesejahteraan perubatan fizikal dan emosi,” katanya.

Beliau berkata endometriosis merupakan isu kesihatan awam yang memerlukan kesedaran lebih tinggi, latihan lebih baik untuk penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan serta sokongan dasar yang lebih kukuh bagi rawatan khusus.

Sementara itu, Dr Tan menggesa wanita agar lebih peka terhadap kesihatan diri dan memahami  sakit haid yang teruk bukan sesuatu yang normal, serta rawatan awal boleh mencegah komplikasi.

“Pengesanan awal amat penting. Jika pesakit mendapatkan rawatan pada tahap satu atau dua, mereka mungkin tidak memerlukan pembedahan sepanjang hayat dan kurang berisiko menghadapi masalah kesuburan,” katanya.

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535892