PASARAN

Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS Selepas Fed AS Kekalkan Kadar Faedah

19/03/2026 09:12 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Ringgit rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah, memberikan sokongan kepada mata wang AS itu.

Pasaran di Malaysia akan ditutup pada 20 Mac (Jumaat) dan 23 Mac (Isnin) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 3.9330/9415 berbanding dolar AS daripada 3.9145/9205 dicatatkan pada Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pendekatan Fed yang mengekalkan kadar faedah telah memberikan momentum baharu kepada dolar AS.

“Buat masa ini, sentimen pasaran didominasi oleh hasil bon AS yang lebih tinggi dan dolar AS yang lebih kukuh berbanding penampan ekuiti Malaysia yang berkaitan dengan minyak,” katanya kepada Bernama.

Fed mengumumkan keputusannya untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah selepas mesyuarat dasar monetari selama dua hari.

Ia memutuskan untuk mengekalkan julat sasaran bagi kadar dana persekutuan pada 3.5 hingga 3.75 peratus selepas mengekalkan kadar tidak berubah pada mesyuarat Januari.

“Mengenai prospek kadar faedah, unjuran para pegawai bank pusat adalah tidak berubah berbanding Disember lepas, menunjukkan mereka menjangka untuk menurunkan kadar faedah hanya sebanyak suku mata pada tahun ini,” menurut laporan Bernama awal hari ini.

Innes juga berkata sentimen risiko serantau yang lemah mengekalkan mata wang Asia dalam kedudukan defensif.

“Walaupun Bursa Malaysia kekal stabil sebagai instrumen lindung nilai komoditi, sokongan itu tidak memberi impak kepada mata wang tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit kekal rendah.

“Konflik di Iran kini melibatkan serangan ke atas kemudahan pengeluaran minyak dan gas.

“Isu utama sekarang masih mengenai gangguan bekalan minyak dan bagaimana ini boleh menyebabkan inflasi,” katanya.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 6.60 peratus kepada US$114.47 setong.

Mata wang tempatan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.2246/2359 daripada 5.2290/2370 pada Rabu, tinggi berbanding euro kepada 4.5139/5237 daripada 4.5166/5235 semalam, bagaimanapun rendah berbanding yen Jepun kepada 2.4716/4771 daripada 2.4627/4668.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit mengukuh berbanding baht Thailand kepada 11.9872/12.0204 daripada 12.0878/1130 pada Rabu dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.54/6.56 daripada 6.57/6.59 semalam.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0671/0740 daripada 3.0668/0718 semalam dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/232.0 daripada 231.0/231.6 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536154