IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Seorang anggota tentera maut selepas digilis sebuah lori treler dalam kemalangan di Kilometer 296.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Kampar petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata pihaknya menerima maklumat pada 2.20 petang mengenai kemalangan itu.
Beliau berkata mangsa Muhammad Adam Ibrahim, 27, yang menunggang motosikal Sym Husky 150 SE disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal itu dipercayai bergesel dengan lori treler pada bahagian tayar kanan lalu terjatuh di atas jalan dan digilis.
“Mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat manakala pemandu lori berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA