AM

Aliran Trafik Ke Pantai Timur Sesak Teruk, Utara Dan Selatan Mula Padat

19/03/2026 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama negara mengalami kesesakan luar biasa malam ini berikutan pertambahan drastik kenderaan yang ingin mengambil peluang terakhir menikmati diskaun tol 50 peratus.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kesesakan paling teruk dikesan ke arah Pantai Timur melibatkan laluan dari Plaza Tol Gombak sehingga Bukit Tinggi.

"Kesesakan di kawasan tersebut dikesan bermula sebelum susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) lagi dan aliran trafik meningkat secara ketara selepas waktu berbuka puasa tadi," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Beliau berkata bagi arah Utara, trafik dilaporkan bergerak perlahan, namun terkawal di laluan Sungai Buloh ke Rawang, Slim River ke Sungkai serta Bukit Tagar menuju ke Lembah Beringin.

Trend kesesakan di Utara juga masih dipengaruhi sisa kesan kemalangan maut yang berlaku petang tadi di laluan Tapah ke Gopeng, selain pertambahan kenderaan di Permatang Pauh menuju ke Sungai Dua.

Bagi laluan ke arah Selatan, LLM melaporkan trafik mula perlahan di beberapa titik panas antaranya Bandar Baru Nilai ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Bandar Ainsdale ke Senawang serta Pedas Linggi ke Simpang Ampat.

Pihak LLM menjangkakan aliran trafik akan terus memuncak sehingga tengah malam ini memandangkan orang ramai mengejar tempoh tawaran diskaun tol yang bakal berakhir pada 11.59 malam.

Selain faktor diskaun, ramai pengguna dilaporkan baru memulakan perjalanan malam ini memandangkan sebahagian besar sektor pekerjaan mula bercuti secara rasmi esok.

Sehubungan dengan itu, LLM menasihati pengguna supaya memastikan baki kad Touch 'n Go serta tangki bahan api kenderaan mencukupi bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika terperangkap dalam kesesakan.

"Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa menjaga jarak selamat antara kenderaan dan berwaspada dengan sebarang halangan di hadapan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," kata jurucakap itu.

Setakat ini, keadaan cuaca di sepanjang lebuh raya utama dilaporkan baik, kecuali hujan lebat yang berlaku di beberapa lokasi seperti Gombak, Tapah dan Nilai pada sebelah petang tadi.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 atau menerusi aplikasi navigasi bagi membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih efektif.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536162