AM

Menteri Kabinet Seru Perpaduan, Kesederhanaan Sempena Aidilfitri

19/03/2026 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Beberapa menteri Kabinet menyampaikan ucapan Aidilfitri dengan menekankan kepentingan perpaduan, nilai kekeluargaan dan kesederhanaan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran Facebook malam ini berkata Aidilfitri merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim antara penganut pelbagai agama.

“Hari Raya merupakan platform terbaik untuk mengeratkan hubungan jiran tetangga serta menjadi medan membina keharmonian dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada sikap saling menghargai dan menyokong antara satu sama lain.

“Marilah kita mengekalkan nilai ini dan tidak membiarkan pandangan negatif, stereotaip atau prasangka mempengaruhi kita. Percaya antara satu sama lain adalah asas perpaduan dan keharmonian yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan pula berkata Aidilfitri mengingatkan rakyat untuk kembali kepada nilai asas kehidupan seperti keluarga, kasih sayang dan kebersamaan.

Beliau turut menekankan keunikan tradisi rumah terbuka yang menjadi simbol perpaduan tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Inilah keindahan sebenar Malaysia apabila tangan dihulur untuk bersalaman, dan senyuman dikongsi bersama,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Syawal perlu diraikan dengan kesederhanaan, keinsafan dan keikhlasan.

“Aidilfitri bukan sekadar dirai dengan kegembiraan, tetapi menjadi ruang untuk kita kembali kepada fitrah, mengeratkan silaturahim serta saling memaafkan dengan hati yang tulus,” katanya.

Beliau berkata Ramadan yang dilalui sebelum ini merupakan madrasah terbaik dalam membentuk jiwa dan memperkukuh iman.

“Semoga Syawal yang mulia ini mengikat hati-hati kita dengan ukhuwah yang lebih erat dan menyatukan kita dalam kasih sayang berpanjangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536173