Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Khamis, menjejaki kenaikan harga tenaga dan jangkaan dasar biodiesel Indonesia.
Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, berkata harga minyak sawit kini berada pada diskaun yang besar berbanding gas dan minyak, memandangkan harga tenaga bergerak lebih tinggi secara mendadak, menjejaskan perkembangan mandat biodiesel di Indonesia.
“Diskaun minyak sawit terhadap minyak gas mencetuskan perbincangan mengenai pengenalan mandat biodiesel B50 di Indonesia. Selain itu, cukai eksport minyak sawit Indonesia bagi April dijangka meningkat sebanyak dua tahap yang dapat menyokong kekuatan harga minyak sawit Malaysia.
“Kenaikan cukai eksport Indonesia dan pengurangan ketersediaan eksport dijangka memberi manfaat kepada pasaran Malaysia dengan menarik pembeli baharu, sekali gus membantu mengurangkan inventori yang tinggi,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak April 2026 meningkat RM78 kepada RM4,580 setan, Mei 2026 meningkat RM85 kepada RM4,619 setan, manakala Jun 2026 meningkat RM83 kepada RM4,611 setan.
Kontrak Julai 2026 meningkat RM80 kepada RM4,580 setan, Ogos 2026 meningkat RM78 kepada RM4,542 setan, manakala September 2026 meningkat RM79 kepada RM4,504 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 136,763 lot daripada 109,385 pada hari Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 237,306 kontrak daripada 232,042 kontrak sebelumnya.
Hara fizikal MSM untuk pasaran April di Selatan meningkat sedikit sebanyak RM70 pada RM4,600 setan.
-- BERNAMA