Oleh Mohd Afiq Zulkifli
TUMPAT, 24 Mac (Bernama) -- Hampir 30,000 ekor mati akibat penyakit selain beberapa kali “tersungkur” tidak sedikit pun mematahkan semangat dua orang rakan dari Kampung Banggol Petani di sini untuk terus mengusahakan penternakan belut yang berpotensi sebagai sumber ekonomi baharu negara.
Berbekalkan minat yang disemai sejak kecil dan kesabaran, penternakan yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh Muhammad Azman Abd Rashid @ Ramli bersama Muhamad Hairi Ishak sejak 2023 itu akhirnya membuahkan hasil dan semakin mendapat perhatian pelanggan.
Bemula daripada penternakan belut liar sebelum beralih kepada spesies hibrid di kawasan ladang seluas kira-kira 0.4 hektar di kampung berkenaan, Muhammad Azman, 47, berkata kegagalan sebelum ini membantu mematangkan mereka untuk lebih memahami selok-belok perusahaan hidupan air tawar itu.
pic-2
“Sejak kecil, saya memang minat belut. Dulu masa balik sekolah, saya selalu ikut orang kampung cari belut di sawah berhampiran kampung, masa itu, suka-suka sahaja. Tetapi daripada situ, timbul minat untuk tahu lebih banyak mengenai belut dan bagaimana ia hidup.
“Apabila tengok di media sosial, ada yang sudah berjaya menternak belut secara komersial di luar negara dan mula terfikir untuk buat sendiri. Namun, memang tidak berjaya pada peringkat awalnya kerana kita buat tanpa ilmu dan sekadar cuba-cuba,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladangnya, di sini baru-baru ini.
Bapa kepada lapan orang anak ini berkata kegagalan itu mendorongnya untuk mengisi ilmu di dada dengan mengikuti kursus penternakan belut di Bangkok, Thailand pada 2021 bagi mempelajari teknik pembiakan, penjagaan dan rawatan secara lebih sistematik.
pic-3
Hasil daripada kursus tersebut, beliau memutuskan untuk beralih daripada penternakan belut liar kepada spesies hibrid yang hanya memerlukan tempoh antara lapan hingga 12 bulan untuk mencapai saiz pasaran sekitar tiga hingga empat ekor sekilogram.
“Belut liar, kadar tumbesarannya boleh mengambil masa sehingga tiga tahun untuk mencapai saiz yang sesuai di pasaran. Kadang-kadang, ada tidak menjadi. Selepas ikuti kursus di Bangkok, baru saya faham dan dari situ, mula serius dalam perusahaan ini,” katanya.
Muhammad Azman yang turut menjalankan perniagaan tayar kereta, berkata belut hibrid di ladang penternakannya menggunakan induk yang dibawa masuk dari Vietnam berharga kira-kira RM30 seekor bagi tujuan pembenihan.
pic-4
“Proses pembiakan bermula di kolam pembenihan berbentuk kanvas bersaiz kira-kira 5.8 meter panjang dan 1.8 meter lebar yang direka menyerupai habitat semula jadi belut, lengkap dengan tanah berselut, air serta rumput sebagai persekitaran sesuai untuk pembiakan.
“Kolam itu turut dilengkapi copong atau paip kecil sebagai sarang belut bagi membolehkan persenyawaan antara induk jantan dan betina. Telur yang matang akan dikutip daripada copong sebelum dimasukkan ke dalam mesin penetasan khas bagi mempercepatkan penetasan anak belut,” katanya.
Anak belut yang baru menetas, jelasnya akan dipindahkan pula ke dalam tangki khas yang dilengkapi jaring sebagai tempat berlindung sebelum dibesarkan secara berperingkat sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dijual.
pic-5
Buat masa ini, Muhammad Azman berkata ladang mereka menempatkan kira-kira 10,000 ekor anak benih belut dan kira-kira 4,000 ekor dijadikan induk bagi tujuan pembiakan dan setakat ini sebanyak RM45,000 telah dibelanjakan untuk projek berkenaan.
Tambahnya beliau merancang untuk menambah antara 15 ke 20 buah kolam lagi pada tahun ini dengan kos projek boleh mencapai RM100,000.
“Biasanya saya jual kepada pemborong dan juga kedai makan dengan jualan minimum sekitar 10 kilogram. Harga bergantung pada musim. Sekiranya kemarau, belut dijual antara RM30 hingga RM35 sekilogram,” katanya yang turut menjual anak benih kepada penternak lain.
Menurutnya, belut hibrid yang dipelihara dalam persekitaran air lebih bersih mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana tekstur dagingnya lebih lembut berbanding belut liar yang hidup di kawasan sawah atau parit.
Jelasnya dalam setahun, pihaknya mampu menjual antara 100,000 hingga 130,000 anak benih.
pic-6
Sementara itu, Muhamad Hairi, 42, berkata penternakan belut memerlukan disiplin tinggi terutamanya dalam aspek penjagaan air kerana ia mudah dijangkiti penyakit seperti penyakit hati, cacing dan kulat di badan.
“Anak belut yang makan makanan debu atau ‘starter’, air perlu ditukar kira-kira satu jam selepas diberi makan. Jika diberi makan tiga kali sehari, air juga perlu ditukar tiga kali manakala belut yang makan pelet, biasanya memerlukan pertukaran air dua kali sehari,” katanya sambil menambah penternakan itu berpotensi menjadi sumber pendapatan alternatif kepada penduduk luar bandar.
-- BERNAMA